Peminat teruja Marvel perkenal superhero muslim pertama. Dalam satu artikel yang diterbitkan di IGN, seorang wartawan wanita Muslim berbangsa Pakistan, Unzela Khan telah berkongsi pendapatnya mengenai siri superhero Muslim pertama – Ms Marvel yang kini ditayangkan di saluran Disney+.
Pada mulanya, dia agak skeptikal dengan pengumuman Disney untuk menjadikan Ms Marvel sebagai sebuah siri memandangkan Hollywood sebelum ini memang selalu tidak berlaku adil dalam memaparkan watak seorang Muslim.
Lebih-lebih lagi fahaman Islamofobia masih kuat di seluruh dunia dan orang Islam sering dilabelkan sebagai penjahat dan pengganas.
Agak sukar bagi seorang wanita Muslim sepertinya untuk menemui satu siri TV atau filem yang memaparkan bahasa, budaya dan agamanya terutama sekali yang boleh diakses oleh penonton arus perdana.
Watak seorang Muslim memakai hijab dalam Spider-Man: Far From Home (2019) merupakan watak yang paling hampir untuk disamakan dengan dirinya pada masa lalu.
Akhirnya tahun 2022 menyaksikan lahirnya Ms Marvel yang memaparkan watak wanita Islam Pakistan-Amerika dengan membawa perubahan yang dinanti-nantikan.
Dalam 5 minit pertama menonton Episod 1 Ms Marvel, penonton Muslim sepertinya terkejut apabila mendengar ungkapan-ungkapan ‘Bismillah’, ‘Allah Subhana-Wa-Taala’ dan ‘Astaghfirullah’ dalam konteks kasual yang dapat dikaitkan dalam perbualan harian seorang Muslim di rumah.
Butiran-butiran kecil seperti papan tanda yang tertulis ‘Halal’ dalam beberapa babak membeli-belah pula berjaya menunjukkan penyatuan masyarakat Islam yang normal di New Jersey.
Kamala Khan, watak utamanya juga digambarkan sebagai seorang remaja Muslim yang biasa, ceria dan lantang bersuara serta hanya mahu berseronok dengan rakan-rakannya.
Namun, dia masih menghormati dan cuba mematuhi perintah kedua-dua orang tuanya yang tidak mahu melihat anak dara mereka terjerumus ke lembah maksiat.
Dalam Episod 2, penonton sekali lagi dibawa untuk melihat sendiri kehidupan seorang remaja Muslim di Amerika Syarikat dengan lebih jelas.
Kamala dan rakannya yang berhijab turut dipaparkan bergurau senda sambil berlari-lari ke masjid, sama-sama berwuduk, mendengar ceramah agama dan menyambut kemeriahan Hari Raya.
Industri perfileman dan TV di Amerika Syarikat selepas ini diharapkan dapat mengambil perhatian dan belajar sesuatu dari siri Ms Marvel yang kini ditayangkan di saluran Disney+ dan baru sahaja selesai 2 episod pertamanya.
Siri ini walau bagaimanapun didapati masih tidak menunjukkan ciri-ciri dan ajaran Islam yang sebenar dan masih memaparkan perkara terlarang seperti pendedahan aurat, pergaulan bebas, parti liar, minuman keras dan sebagainya.
Namun, itulah realitinya kehidupan seorang remaja di Amerika Syarikat ketika ini dan pada pendapat Unzela Khan, Ms Marvel merupakan sebuah siri yang ‘paling Muslim’ setakat ini.
BACA:
Noor Nabila dedah sudah tiga kali keguguran
Air boleh wujud di bulan – Saintis
Haqiem Rusli luah perasaan sedih, tak suka orang kasar tegur isterinya