Pemimpin Umno mahu lihat dahulu saman Muhyiddin sebelum jawab

Pemimpin Umno mahu lihat dahulu saman Muhyiddin sebelum jawab

Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno Mohd Puad Zarkashi berkata beliau memerlukan masa untuk meneliti surat tuntutan memohon maaf secara terbuka dan membayar ganti rugi RM10 juta daripada Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin.

“Saya masih perlukan masa untuk teliti surat tuntutan itu sebelum memberi maklum balas.

“Nanti saya komen. Mungkin hujung minggu ini. Hari ini balik Putrajaya. Nak periksa kalau dokumen sampai,” katanya ringkas kepada FMT.

Terdahulu, Muhyiddin menuntut Puad memohon maaf secara terbuka dan membayar ganti rugi RM10 juta kerana didakwa memfitnah perdana menteri menerusi hantaran di Facebook minggu lalu.

Dalam surat tuntutan dihantar firma guaman Rosli Dahlan Saravana Partnership kepada Puad semalam, Muhyiddin, antara lain, menuntut Puad memadam kenyataan bertarikh 9 Feb mengenai kuarantin dari laman Facebooknya.

Tuntutan itu dibuat terhadap kenyataan Puad bahawa Muhyiddin enggan dikuarantin sekembalinya dari lawatan rasmi dari Jakarta pada 5 Feb lalu sehingga kerajaan terpaksa mewartakan perintah kuarantin tiga hari terhadap menteri.

Firma guaman itu juga diarah untuk menuntut Puad menyatakan permohonan maaf secara terbuka disiarkan secara jelas dan segera di Laman Facebooknya serta semua portal berita dan media sosial yang menyiarkan kenyataan yang didakwa berunsur fitnah itu.

Selain itu, Puad juga dituntut mengeluarkan aku janji bertulis untuk tidak mengulangi atau menerbitkan kenyataan sama atau seumpama itu dalam apa jua cara sekalipun.

Pada 9 Feb lalu, Pejabat Perdana Menteri dalam kenyataan menafikan sekeras-kerasnya fitnah yang dibuat oleh Puad kononnya perintah kuarantin tiga hari untuk menteri yang melakukan lawatan ke luar negara diwartakan oleh kerajaan kerana perdana menteri enggan dikuarantinkan sekembalinya dari lawatan rasmi ke Indonesia.

Berita penuh : https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2021/02/17/saya-teliti-dulu-surat-tuntutan-mohon-maaf-ganti-rugi-rm10-juta-sebelum-jawab-kata-puad-zarkashi/