Pemimpin PKR gesa agar Anwar diberi kepercayaan terajui pembangkang

Pemimpin PKR gesa agar Anwar diberi kepercayaan terajui pembangkang

Menteri Besar Selangor Amirudin Shari meletakkan keyakinan ke atas Presiden PKR Anwar Ibrahim dalam menerajui pembangkang dalam menghadapi persaingan politik di arena demokrasi negara.

Justeru, dia menggesa semua pihak dalam ketumbukan pembangkang supaya menjadikan iltizam Anwar sebagai teladan dalam menyusun kekuatan mereka.

“Saya yakin kepimpinan Anwar Ibrahim selaku presiden PKR, pemimpin Pakatan Harapan dan ketua pembangkang mampu menerajui kekuatan demokratik ini bagi mencapai kejayaan menerapkan agenda reformasi.

“Justeru, jangan sesekali kita mengeluh dan jangan abaikan matlamat perjuangan bersama. Pertingkatkan usaha demi agenda reformasi,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Amirudin juga mengingatkan bahawa ketumbukan pembangkang tidak boleh sama sekali terganggu daripada ikhtiar untuk membela nasib rakyat dalam pandemik Covid-19.

“Saya menyeru seluruh pendukung PKR dan Pakatan Harapan untuk kekal bersemangat, memperkemaskan tekad serta istiqamah menyusun kekuatan menghadapi persaingan politik di arena demokrasi negara.

“Sewajarnya iltizam Anwar Ibrahim menjadi teladan kepada kita semua untuk terus menggembleng usaha dan buah fikiran bagi memperkuatkan ketumbukan pro-demokrasi yang merangkumi parti-parti politik dan segenap pertubuhan masyarakat madani,” katanya.

Semalam, pembangkang gagal menolak RUU Perbekalan (Belanjawan) 2021 di Dewan Rakyat yang sekali gus membuktikan bahawa kepimpinan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin masih mempuntai sokongan majoriti.

Ketika RUU itu dibentang untuk bacaan kali ketiga dan terakhir, semalam, 111 daripada 220 ahli parlimen menyokongnya.

Di pihak pembangkang, 108 anggota parlimen membantah manakala seorang lagi tidak hadir.

Ini adalah jumlah undi tertinggi dimiliki pembangkang sepanjang pembentangan Belanjawan 2021.

Berita penuh : https://www.malaysiakini.com/news/555462

COMMENTS