Pemilik syarikat pencetak Harakah dah kritikal , Pas masih liat bayar hutang

Oleh DAHLIA MARZUKI

PAS diharap segera melunaskan hutangnya kepada syarikat bekas pencetak Harakah selepas mahkamah memutuskan agar tindakan tersebut diambil.

Keadaan semakin meruncing apabila pengasas syarikat Angkatan Edaran Enterprise Sdn Bhd dan N.A.J. Press Resources (M) Sdn Bhd, Azlan Jan,

Berada dalam keadaan kritikal dan menjalani rawatan di hospital, demikian diungkapkan oleh Pengurus NAJ Press Resources, Hussin Jan.

Pemilik syarikat pencetak Harakah dah kritikal , Pas masih liat bayar hutang

Hussin menyatakan bahawa peguam mereka telah menghantar notis perintah dan penghakiman di bawah Aturan 14 Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012 bertarikh 5 Disember 2023.

Notis tersebut menuntut defendan-defendan untuk menjelaskan dan membayar jumlah penghakiman termasuk kos faedah peguam bagi pihak plantif.

“Pihak berkenaan dikehendaki menyelesaikan perkara ini dalam tempoh tujuh hari bermula tarikh notis dikeluarkan pada 13 Disember lalu.

“Dalam keadaan pengasas kedua-dua syarikat tersebut (Azlan) berdepan dengan tahap kesihatan yang kritikal, seharusnya PAS mempunyai sikap iman dan ehsan untuk membayar hutang cetak Harakah,” ujarnya kepada Malaysiakini hari ini.

Hussin turut menyatakan bahawa keadaan Azlan kini semakin baik dengan pemantauan rapi pihak hospital selepas pulih daripada koma. Malaysiakini melaporkan pada 5 Disember yang lalu bahawa bekas pencetak Harakah telah memperoleh penghakiman terus yang mengarahkan PAS membayar hutang sebanyak RM656,233.69.

Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur telah membenarkan permohonan NAJ Press Resources untuk penghakiman terus terhadap PAS dan dua defendan lain, iaitu Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan dan penerbit lidah rasmi parti itu, Galeri Media Serbanika Sdn Bhd.

Pihak Malaysiakini sedang menunggu respon daripada PAS mengenai perkara ini. Sementara itu, Hussin menyatakan harapannya agar PAS membayar keseluruhan hutang sebenar mereka, bukan hanya jumlah yang telah ditetapkan oleh mahkamah.

Beliau menegaskan bahawa sebagai sebuah parti Islam, PAS sepatutnya mematuhi prinsip-prinsip hukum agama dalam hal hutang-piutang, memahami bahawa dalam Islam, hutang wajib dibayar walaupun tidak dituntut.

BACA: Rupanya ini punca MBSA kalah saman RM50,000 dengan tempat pusat ‘urut kaki’