Perebutan tanah sering menjadi punca permusuhan, malah ada yang sanggup memutuskan hubungan persaudaraan.
Dalam kes yang lebih ekstrem, ia boleh membawa kepada pergaduhan hingga meragut nyawa.
Melalui satu perkongsian di laman Facebook, seorang individu berkongsi pengalaman
apabila tanah miliknya seluas lebih tiga ekar dicerobohi selama bertahun-tahun.
Menurutnya, tanah tersebut telah digunakan oleh individu yang dikenali sejak tahun 2011 tanpa kebenaran.
“Saya memiliki tanah lebih kurang tiga ekar. Tanah ini telah digunakan oleh individu yang saya kenal sejak 2011 hingga kini, sudah 13 tahun, untuk tanaman kelapa sawit,” tulisnya.
Lebih memburukkan keadaan, pemilik tanah terpaksa membayar cukai tanah setiap tahun, sedangkan keuntungan daripada hasil kelapa sawit sepenuhnya dinikmati oleh si penceroboh.
“Pada awalnya, saya tidak terlalu mengambil kisah mengenai tanah ini kerana saya tinggal di luar kawasan. Namun, lama-kelamaan individu itu dilihat semakin melampau dalam mengambil kesempatan,” tambahnya.
Individu tersebut juga mendedahkan bahawa si penceroboh bukan sahaja tidak meminta izin, malah berani membuat tuntutan yang tidak masuk akal.
“Awalnya saya tiada niat untuk mengambil semula tanah itu. Tapi dia sering memprovokasi saya. Dia meminta saya membayar modal yang telah digunakannya atau menukar nama tanah kepada namanya.
“Dia juga meminta saya membayar segala kos pembangunan tanaman kelapa sawit dengan nilai yang tidak munasabah jika saya ingin mengambil semula tanah tersebut, walhal hasil tanaman itu seratus peratus dia ambil,” luahnya.
Provokasi dan sikap sombong individu tersebut membuatkan pemilik tanah kini bingung untuk mencari jalan penyelesaian, terutama kerana tiada perjanjian rasmi antara kedua-dua pihak.
Perkongsian itu mengundang simpati warga maya, yang rata-ratanya menyarankan agar individu tersebut menggunakan saluran undang-undang untuk menuntut haknya.
Antara komen netizen:
“Kalau nak selesai secara baik, cakap je pada dia, masuk cara elok, keluar cara elok. Kalau tak, guna saluran undang-undang, cari peguam dan failkan perintah mahkamah.”
“Saman saja. Buat laporan polis, lantik peguam, dan failkan kes pencerobohan serta tuntut ganti rugi.”
“Dia dah makan hasil haram terlalu lama dan sombong dengan tuan tanah. Tiada cara lain kecuali tindakan undang-undang.”
Kes ini menjadi pengajaran penting kepada pemilik tanah lain untuk lebih berhati-hati dan bertindak segera jika hak mereka dicerobohi.
BACA: Ramai main telan tapi tak sedar bahagian pada ayam ini sebenarnya beracun