Pemenang Masterchef Indonesia dakwa Nasi Kandar di Malaysia berpasir, buktikan Nasi Kandar Indonesia lebih ‘original’

Oleh AHMAD SULAIMAN

Menu nasi kandar sering kali menjadi pilihan masyarakat tempatan kerana penawaran nasi bersama lauk pauk dan kuah banjir yang sangat menyelerakan.

Popularitinya yang semakin meningkat juga telah menarik perhatian negara jiran yang kini turut menawarkan menu serupa.

Baru-baru ini, seorang YouTuber dari Indonesia bernama Boengkoes berkongsi video lawatannya ke sebuah kedai milik pemenang Masterchef Musim ke-5 yang menyediakan hidangan dari Malaysia.

Dalam video tersebut, Boengkoes bertemu dengan chef dan pemilik kedai itu, Fani, yang mendedahkan hasratnya untuk memperkenalkan nasi kandar di Indonesia.

Apabila ditanya mengapa dia ingin memperkenalkan nasi kandar, Fani berkongsi bahawa dia sering menikmati hidangan tersebut di Kuala Lumpur, namun merasakan nasi kandar di Malaysia kurang menepati citarasanya.

Pemenang Masterchef Indonesia dakwa Nasi Kandar di Malaysia berpasir, buktikan Nasi Kandar Indonesia lebih 'original'

“Tiap hari asyik makan nasi kandar, tapi rasanya kurang enak di Malaysia… jadi saya rasa boleh buat lebih baik di sini,” katanya.

Menurut Fani, apa yang membezakan nasi kandarnya berbanding versi di Malaysia adalah penggunaan rempah yang lebih segar dan dibuat secara manual. Dia mendakwa di Malaysia, rempah serbuk (instant) lebih kerap digunakan, menjadikan kuah terasa seperti berpasir.

“Kalau di Malaysia, mereka pakai serbuk rempah, tapi di sini kita guna rempah segar dan buat sendiri. Serbuk rempah di sana bila dituang terasa berpasir,” ujarnya yakin.

Dia juga membenarkan pelanggan membuat pesanan kuah banjir, seperti di Malaysia, dan merasa bahawa nasi kandarnya boleh memenuhi citarasa ramai.

Ketika ditanya mengapa tiada pameran lauk seperti di Malaysia, Fani menjelaskan kedainya baru sahaja beroperasi sehari dan dia akan mempertimbangkan untuk menyediakan ruangan paparan lauk di masa depan.

YouTuber tersebut kelihatan sangat menikmati nasi kandar buatan Indonesia itu dan menganggapnya lebih sedap daripada yang asli di Malaysia.

Namun, dari pandangan kami, kuahnya kelihatan sangat cair seperti kuah gulai, dengan ayam yang seakan-akan masak merah, serta tambahan telur dadar dan sayur kubis yang pucat, langsung tidak menyerupai nasi kandar asli dari Malaysia.

Pilihan lauk dan kuah juga terhad, menjadikan ia bukan nasi kandar yang autentik.

Dalam video lain, Fani mendakwa rasa nasi kandar di Malaysia hambar dan kurang menggunakan rempah ratus asli.

Di ruangan komen, sebahagian warganet Indonesia sendiri tidak bersetuju dengan dakwaan berani tersebut dan mengecam kedua-dua individu yang mengatakan nasi kandar Malaysia tidak sedap.

Bagi mereka, setiap negara mempunyai keunikan tersendiri dalam masakan, dan orang tempatan lebih arif dalam penyediaannya.

Mereka menegaskan bahawa resepi tempatan tidak boleh diubah sesuka hati untuk memenuhi citarasa semua orang, terutamanya dari luar negara.

BACA: ‘Patutlah suami tukar password lock telefon dia, pelik padahal dah kahwin, lain pula jadi bila mak mertua tahu perangai sebenar suami’