Pelawaan Salahuddin selari dengan keputusan kolektif PH – AJK Amanah

Pelawaan Salahuddin selari dengan keputusan kolektif PH – AJK Amanah

Kenyataan Setiausaha Pemuda PKR (AMK) Saudara Ahmad Syukri Che Razab bahawa kenyataan Timbalan Presiden Amanah Dato’ Seri Salahuddin Ayub yang mempelawa PPBM kembali bersama Pakatan Harapan (PH) sebagai satu idea tidak bermaruah adalah satu kenyataan yang dangkal.

Perkara ini telah dibincangkan di dalam Majlis Presiden PH dan dipersetujui untuk diteruskan kerjasama politik antara PH dan PPBM yang diterajui Tun Mahathir Mohamad. Lantaran itu, siri-siri pertemuan dengan Tun Mahathir dihadiri pemimpin utama PH termasuk PKR. Ia satu keputusan kolektif yang perlu dihormati dan diterima dengan baik. Maka, saudara Syukri Razab perlu menarik balik kenyataan tersebut.

AMK sebagai salah satu sayap parti gabungan PH seharusnya mengemukakan pandangan berbeza melalui saluran parti dan bukannya secara terbuka melalui media sehingga boleh mengelirukan rakyat. Rakyat masih bersama PH, cuma PH perlu bertindak lebih strategik, tuntas dan dinamik bagi mengembalikan pentadbiran Putrajaya atau mana-mana negeri ke tangan PH.

Salahuddin Ayub dengan nada terbuka mempelawa PPBM atau mana-mana Ahli Parlimen (MP) atau Adun PPBM untuk bersama PH dan ini sebenarnya tindakan bermaruah. Membiarkan negara terus dikuasai Perikatan Nasional (PN) sebenarnya yang tidak bermaruah.

Umum mengetahui bahawa PH atau PN memerlukan sokongan majoriti MP atau Adun bagi membentuk kerajaan samada di peringkat persekutuan atau negeri. Oleh itu, pelawaan Salahuddin Ayub selari dengan keputusan kolektif PH dan tiada khilafnya dari sudut politik. Mempunyai bilang yang cukup di Parlimen atau Dun terutama di Johor memerlukan sokongan MP dan Adun PPBM. Perlu diingat bahawa kenyataan tersebut dibuat secara terbuka dan bukannya melibatkan pertemuan sulit yang tidak bermaruah sepertimana yang dilakukan PAS sebelum ini sehingga terbubarnya Pakatan Rakyat (PR).

Tindakan PPBM keluar PH dibuat Majlis Pimpinan Tertinggi PPBM dan bukannya Perhimpunan Agong parti. Sudah pasti ada di kalangan pemimpin dan ahli PPBM yang tidak bersetuju dengan keputusan tersebut kerana kerjasama dengan UMNO bertentangan dengan semangat penubuhan PPBM yang mahu menjatuhkan kerajaan kleptokrasi. Oleh itu, sudah pasti ada antara mereka yang mahu bersama PH yang menolak UMNO yang mana saka-saka kleptokrasi masih diwarisi sehingga sekarang. Jika tahun 2015, sebahagian pemimpin dan ahli UMNO keluar parti untuk bersama PH menjatuhkan BN, kenapa tidak sekarang mereka bersama PH menjatuhkan PN.

Kebebasan politik termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan, maka MP atau Adun PPBM berhak untuk kembali menyokong PH. Mereka belum terlambat dan jauh di belakang.

PH harus meramaikan rakan politik dan mengecilkan musuh politik. PH tidak boleh bermegah dengan jumlah MP atau Adun PH buat ketika ini kerana tidak cukup bilang bagi merampas kembali kerajaan yang telah dirompak PN.

PH menang dalam PRU Ke-14 dengan mandat rakyat. Mandat rakyat ini wajib dikembalikan kerana harapan rakyat melihat perubahan dalam urus tadbir dan pengukuhan ekonomi negara terletak pada PH.

FAIZ FADZIL
Adun Permatang Pasir
Ajk Amanah Nasional

3 Mei 2020

Sumber :

COMMENTS