Pelantikan TPM strategi Muhyiddin kucar kacirkan Umno, dakwa Isham

Pelantikan TPM strategi Muhyiddin kucar kacirkan Umno, dakwa Isham

Sekiranya pelantikan Timbalan Perdana Menteri dibuat secara semberono dan tidak kena calonnya, mungkin kemelut dalam UMNO akan ‘tercetus’ dan memecah belahkan parti dari dalam.

Demikian pandangan Ketua Penerangan Barisan Nasional (BN) Selangor, Isham Jalil mengulas khabar angin yang mendakwa Tan Sri Muhyiddin Yassin akan memilih sama ada Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob atau Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Hussein sebagai Timbalan Perdana Menteri.

Isham berkata, calon yang mahu dilantik tentunya tidak akan dipersetujui oleh rata-rata akar umbi dan pemimpin UMNO.

Ini kerana, calon berkenaan akan dilihat cenderung menyebelahi Muhyiddin dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

“Mungkin ini yang Muhyiddin mahu – menyelamatkan partinya dengan membeli sedikit masa bernafas dan pada masa yang sama menghuru-harakan dan melemahkan UMNO.

“Dan sebaliknya calon yang akar umbi dan pemimpin UMNO mahu, besar kemungkinan tidak akan diterima oleh Muhyiddin dan Bersatu,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mengulas lanjut, Isham yakin Bersatu tidak lagi boleh ‘membeli’ UMNO dan UMNO tidak akan menjual diri.

“Walaupun kedua-dua parti boleh bersetuju dengan satu nama, jawatan ini hanyalah bersifat sementara selama beberapa bulan sahaja, sebab dengan majoriti yang tipis atau tiada majoriti dalam Parlimen, kemelut politik tentunya akan berlaku lagi dalam sedikit masa sehinggalah Parlimen dibubar.

“UMNO tentunya perlu korbankan pelbagai perkara kepada Muhyiddin menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 sebagai timbal balas.

“Buat apa terima satu jawatan timbalan untuk beberapa bulan tetapi korbankan perjuangan dan maruah parti kepada Bersatu?,” soalnya.

Seperti yang beliau katakan sebelum ini, oleh kerana Bersatu terdiri daripada pelbagai pengkhianat, rakyat akan menolak mereka dalam PRU dan jika UMNO beri laluan kepada Bersatu, Pakatan Harapan yang akan menang dan kembali berkuasa.

“Akar umbi dan pucuk pimpinan UMNO rata-rata sudah boleh baca perkara ini, malah langkah ini sudah pun terlambat dan tidak lagi akan dapat memujuk UMNO untuk menyelamatkan Bersatu.

“Sebab itu Muhyiddin dan Bersatu tidak lagi ada banyak pilihan selain meletakkan jawatan kerana mereka dilihat hanya fokus berpolitik untuk menyelamatkan diri namun keadaan ekonomi dan penularan COVID-19 semakin hari semakin buruk.

“Mereka telah gagal untuk mengekang kenaikan penularan COVID-19 dan gagal mengendalikan ekonomi ketika krisis,” katanya lagi.

Sumber : https://ismaweb.net/2021/01/11/umno-akan-pecah-belah-jika-terima-jawatan-tpm/