Pelantikan pengerusi GLC atas dasar politik bakal merosakkan GLC itu sendiri

Pelantikan pengerusi GLC atas dasar politik bakal merosakkan GLC itu sendiri

MENURUT Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) Takiyuddin Hassan, semua ahli parlimen kerajaan PN yang tidak dilantik jadi menteri, timbalan menteri atau duta akan dilantik memegang jawatan sebagai pengerusi GLC. Pelantikan itu menurutnya, berasaskan kelayakan mereka sebagai ahli parlimen.

Beliau tidak menyebut apakah pelantikan tersebut berdasarkan pengalaman, kebolehan atau hanya kerana mereka adalah ahli parlimen kerajaan (PN) semata-mata?

Kalaulah pelantikan itu kerana mereka hanya ahli parlimen bukan berasaskan apa-apa kebolehan atau aset, atau track record dalam bidang professional masing-masing selaras dengan GLC dipegang, perlantikan itu meragukan apakah ia dapat memberi dampak dan membantu kerajaan khasnya dengan keberadaan mereka di GLC berkenaan.

Mungkin jadi pengerusi itu GLC itu tidak sepenting menteri. Tetapi dari segi kedudukannya perlu difahami pengerusi adalah nadi kepada sesebuah GLC atau syarikat berkenaan. Apa lagi kalau tarafnya sebagai Pengerusi Eksekutif, ia penting.

Justeru lantikan itu bukan boleh dibuat main-main tetapi perlu ada signifikan tersendiri, dan jika ia dilantik sembarangan hanya sekadar untuk memenuhi kehendak politik ia memberi kemalangan dan kerugian besar kepada GLC itu sendiri.

Tidak jelas dalam kenyataan Takiyuddin yang dipetik dari laporan portal berita itu, apakah MP dimaksudkan daripada Pas atau kesemua MP yang mendukung Muhyiddin untuk rampas kuasa tempoh hari. Kalau ia membabitkan kesemua MP bermakna ia termasuk sama MP daripada Umno juga.

Jika ini berlaku ia sedikit memelikkan dan canggung. Kerana sebelum ini Muhyiddin dalam penyusunan kabinetnya menegaskan beliau mahu orang yang bersih dan seperti beriya-iya mahu mengkesampingkan MP Umno daripada menyertai kabinetnya. Alasan kerana setengahnya tidak bersih, masih dalam siasatan polis atau sedang menunggu keputusan pendakwaan di mahkamah.

Mereka seperti ahli parlimen Bagan Datuk, (Ahmad Zahid Hamidi), Pekan, (Najib Razak), Putrajaya Teuku Adnan Mansor, Benut, (Ahmad Maslan), Kinabatangan (Bung Mokhtar Raden), Abdul Azeez Rahim (Baling) dan lain-lain. Mereka ini tidak berada dalam kabinet Muhyiddin kerana mereka “terleset” terkait dengan kes mahkamah.

Tetapi apabila mendengar kenyataan Takiyuddin yang juga Setiausaha Agung Pas itu ia memberi gambaran seolah-olah semua MP termasuk yang tidak lepas dari saringan polis dan SPRM itu akan diberi kedudukan dan hak serupa menjadi pengerusi kepada GLC?

Kalau ini benar ia akan mencemarkan kerajaan Muhyiddin dan diri Muhyiddin sendiri. Selama ini Muhyiddin dilihat bersih dan “bersinar banar”, anak Tuan Guru tiba-tiba sanggup pula untuk menerima atau mengambil semula mereka yang dilihat najis sebelum ini. Apakah yang menyebabkan Muhyiddin “mengonar balik” dan terdesak untuk melakukan itu?

Apakah pemberian itu untuk memastikan mereka tidak merajuk kerana tidak diberikan sebarang kedudukan dan akan menarik balik sokongan kepada Muhyiddin? Begitukah? Kalau begitu ertinya pemberian jawatah itu ada unsur rasuah atau ugutan. Ia sesuatu yang tidak bermoral.

Mungkin apa yang dilakukan itu PM berkenaan mula rasa terdesak. Beliau amat faham akan keadaan dirinya dan juga kerajaan PN, bahawa beliau naik jadi Perdana Menteri kerana sokongan yang tipis. Justeru untuk memastikan kedudukannya utuh dan kerajaannya tidak tumbang, beliau kena lakukan sesuatu walaupun tidak bermoral.

Salah satu ialah menjaga hati dan sokongan semua 113 MP menyatakan sokongan kepadanya. Dan cara mengekalkan sokongan itu mereka perlu diberi habuan. Mungkin tidak untuk Zahid dan Najib, tetapi habuan bentuk lain pasti ada?

Jika inilah realiti nampak betapa bangsatnya cara Muhyiddin berpolitik. Pelantikan dan pemberian jawatan kepada semua MP itu sebagai meneruskan politik tidak bermoral Muhyiddin semasa beliau bersetuju untuk mengkhianati Mahathir dengan merampas kuasa kerajaan PH. Apa erti dan maknanya beliau serang Najib sebelum ini kerana terbabit dengan skandal 1MDB yang kemudian dia juga melakukan hal sama?

Soalnya apakah Muhyiddin boleh bertahan dengan cara itu dan apakah jaminan MP itu akan setia kepadanya. Selama manakah MP itu setia bersamanya? Kesetiaan seseorang bukan berasaskan kepada kebendaan, wang ringgit dan jawatan tetapi kerana prinsip. Melainkan kesemua MP kerajaan itu itu sudah tandus dengan prinsip.

Kesimpulannya tidak syak lagi pemberian jawatan kepada MP itu untuk menyelamatkan Muhyiddin dan kerajaan PN selain tindakan tidak bermoral ia seolah-olah Muhyiddin sudah tidak ada cara dan kaedah lain lagi bagi menguatkan sokongan kepadanya. Tindakan itu juga menjelaskan bahawa Muhyiddin tidak kuat dan kedudukannya sebagai PM bak telur di hujung tanduk.

Jadi sama ada pengagihan jawatan seperti pengerusi GLC seperti dinyatakan Takiyuddin itu sesuatu yang praktikal atau tidak, bermoral atau tidak, tidak perlu dihiraukan yang penting Muhyiddin terselamat daripada digulingkan. Dan tindakan tanpa memikir soal moral itu meletakkan Muhyiddin dalam kubang politik tidak bermoral yang merosakkan reputasinya selama ini.

Sumber :http://msomelayu.blogspot.com/2020/04/apakah-jaminan-mp-diberi-jawatan-mereka.html?m=1