Pelaksanaan PKP masih belum menampakkan hasil – Dr Noor Hisham

Pelaksanaan PKP masih belum menampakkan hasil – Dr Noor Hisham

Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah meminta rakyat Malaysia dari semua lapisan masyarakat untuk mematuhi prosedur operasi standard (SOP) berikutan kes baru Covid-19 setiap hari.

“Sekali lagi saya ingin mengingatkan diri saya dan rakyat Malaysia tidak kira pangkat dan bangsa dan sebagainya untuk patuh kepada SOP.

“Kalau tak ada urusan yang penting kita dinasihatkan duduk di rumah, ini adalah kerana virus Covid-19 sudah ada dalam masyarakat kita dan semakin merebak.

“Kalau kita ada urusan penting pastikan kita patuh kepada SOP memakai pelitup muka setiap masa, mencuci tangan dan amalkan penjarakan sekurang-kurangnya 1 meter, ” katanya pada akhir taklimat Covid-19 petang tadi.

Noor Hisham berkata dia yakin Malaysia akan berjaya mengatasi gelombang ketiga jangkitan ketika ini, sama seperti ketika gelombang kedua tahun lalu.

“Inilah sebab kita melaksanakan PKP supaya kita dapat putuskan rangkaian jangkitan Covid-19,” katanya.

Sementara itu, Noor Hisham berkata keberkesanan pelaksanaan PKP masih belum menampakkan hasil.

Jangkitan baru setiap hari melebihi 3,000 kes sejak PKP mula dilaksanakan di lima negeri dan tiga wilayah persekutuan pada 13 Jan lalu.

Hari ini pula sebanyak 3,631 jangkitan Covid-19 direkodkan.

Kerajaan hari ini juga mengumumkan pelaksanaan PKP di seluruh negara kecuali di Sarawak.

Memandangkan tempoh inkubasi Covid-19 adalah selama 14 hari, Noor Hisham berkata kementerian akan menilai keberkesanan strategi pelaksanaan PKP pada minggu akan datang.

“Kita harapkan mungkin dalam tempoh seminggu lagi kita akan lihat kes stabil dalam mungkin 3,000 kes, sebelum kita lihat impak dia atau pengurangan kes selepas PKP yang kita jalankan untuk tempoh dua minggu dulu.

“Kita mungkin akan menilai semula selepas dua minggu sama ada perlu lanjut PKP untuk dua minggu lagi,” katanya.

Noor Hisham juga memaklumkan kadar kebolehjangkitan (RO) seluruh negara pada tahap 1.16 setakat semalam (18 Jan). – MK

COMMENTS