Pekerja tak buat ujian saringan Covid-19, kedai gunting diarah tutup

Pekerja tak buat ujian saringan Covid-19, kedai gunting diarah tutup

Sebuah kedai gunting rambut di Taman Permatang Duyong, di sini diarahkan tutup serta-merta malam tadi.

Notis penutupan premis selama tujuh hari bermula semalam dikeluarkan Jabatan Kesihatan Negeri selepas mendapati empat pekerja warga India di premis berkenaan tidak melakukan ujian saringan koronavirus (Covid-19).

Exco Kesihatan dan Antidadah negeri, Rahmad Mariman berkata, kesemua mereka gagal mengemukakan dokumen saringan (Covid-19) yang sepatutnya dilakukan oleh warga asing sebelum memulakan operasi, sekali gus tidak mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Pemilik premis ketika dihubungi mengaku bahawa kesemua empat warga asing terbabit belum membuat sebarang ujian saringan Covid-19.

“Tindakan kita menutup sementara premis bagi memberi tempoh kepada majikan membuat ujian swab ke atas semua pekerjanya dan mereka perlu membawa dokumen tersebut serta keputusan lulus kepada Jabatan Kesihatan sebelum dibenarkan beroperasi semula,” katanya kepada pemberita selepas Operasi Khas Penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di sekitar Duyong, malam tadi.

Penguat kuasa Jabatan Kesihatan Negeri sedang mengeluarkan notis penutupan selama tujuh hari ke atas kedai gunting terbabit.
Hadir sama, Pengarah Kesihatan Negeri Melaka, Dr Ismail Ali.

Mengulas lanjut katanya, kakitangan jabatan turut mengalami sedikit kesukaran ketika operasi di premis terbabit memandangkan warganegara berusia antara 30 hingga 40-an itu termasuk pengurusnya tidak fasih berbahasa Melayu, manakala pemilik kedai kini berada di Johor Bharu.

Operasi terbabit dilakukan seramai 14 penguat kuasa dari Jabatan Kesihatan Negeri yang melakukan pemeriksaan di kedai makan dan stesen minyak bagi memastikan SOP dipatuhi.

Rahmad berkata, notis penutupan premis kedai gunting rambut itu termaktub di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) dan peruntukkan Subseksyen 11(2) Akta yang sama dengan mewartakan Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah di dalam Kawasan Tempatan jangkitan).

“Jabatan kesihatan negeri juga akan memantau cawangan lain kedai gunting rambut terbabit yang masih beroperasi di bagi mengelak perkara sama berlaku,” katanya.

Sementara itu katanya, sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga 21 Jun, sebanyak 6,941 premis diperiksa melibatkan 139 notis kesalahan dikeluarkan kerana gagal mematuhi SOP ditetapkan MKN.

Berita penuh:

https://www.sinarharian.com.my/article/89371/EDISI/Selangor-KL/Kedai-gunting-rambut-diarah-tutup

COMMENTS