Pejuang guna logo Amanah?, Kena kelulusan PH dahulu – Mahfuz

Pejuang guna logo Amanah?, Kena kelulusan PH dahulu – Mahfuz

Naib Presiden Amanah, Mahfuz Omar berkata, Pejuang tidak boleh menggunakan lambang parti itu pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15) tanpa persetujuan Pakatan Harapan (PH).

Katanya, prinsip itu jelas kerana Amanah sebahagian daripada PH.

“Amanah tetap berpegang kepada prinsip kita sebahagian daripada PH, sebarang penggunaan logo dan sebagainya mesti ditentukan PH. Sebagai contoh, PRU lalu kita setuju guna lambang PKR, selepas kita menang PRU, kita guna logo PH bertanding dalam setiap pilihan raya kecil, jadi prinsip kita jelas hanya satu logo saja perlu digunakan.

“Kalau contohnya PH kata kita guna logo PH, bermakna logo Amanah tidak boleh diguna dalam PRU, termasuk Amanah sendiri atau mana-mana pihak. Mana mungkin kita buat keputusan dalam PH guna lambang PH, tiba-tiba kita nak berikan logo kita diguna pihak lain, mana boleh?” katanya kepada FMT.

Beliau berkata demikian selepas Timbalan Presiden protem Pejuang, Marzuki Yahya mengesahkan parti itu mungkin menggunakan lambang Amanah pada PRU15, jika pendaftarannya tidak diluluskan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia.

Susulan itu, kumpulan penyokong Presiden PKR, Anwar Ibrahim dilaporkan berkata, hubungan setiakawan Amanah dalam PH akan “putus” jika parti serpihan PAS itu bersetuju membenarkan Pejuang yang diketuai Dr Mahathir Mohamad menggunakan lambang mereka pada PRU15.

Mahfuz berkata, kenyataan berhubung lambang Amanah itu dibuat pemimpin Pejuang, bukannya Amanah dan sehingga kini parti itu tidak menerima sebarang permohonan rasmi daripada Pejuang berhubung perkara itu.

“Semua pihak perlu memahami, baik Otai atau sesiapa saja, antara kenyataan dibuat Pejuang dengan keputusan dibuat oleh Amanah, itu berbeza.

“Keputusan daripada Amanah tiada lagi, jadi janganlah kegelisahan dalam kalangan rakan-rakan semua tentang soal ini. Tak ada keputusan pun, malah tak ada permohonan secara rasmi, bertulis dari mana-mana pihak yang nak guna lambang Amanah.”

Beliau menegaskan prinsip Amanah ialah tetap bersama PH dan semua pihak perlu bersatu jika mahu menang pada PRU15.

“Yang penting penyatuan pembangkang menghadapi musuh sama, jangan ada pertembungan sesama sendiri.

“Kalau kita bersaing melawan sesama sendiri, melawan musuh dan akhirnya musuh akan terus kuat,” katanya sambil berharap semua pembangkang, termasuk kumpulan Mahathir bersetuju menggunakan satu lambang ketika PRU. – FMT

COMMENTS