Pegawai bank terima rasuah cecah RM2 juta, sindiket jual tanah milik Felda akhirnya terbongkar

Oleh JUNITA ABD RAHIM

Siapa sangka, dua pegawai bank menerima rasuah bernilai hampir RM2 juta sebagai balasan meluluskan

pembukaan akaun perbankan yang kononnya didaftarkan atas nama Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda).

Difahamkan, pembukaan akaun tersebut bertujuan untuk memperdaya pihak pembeli supaya mereka percaya bahawa urus niaga penjualan tanah berkenaan adalah tulen daripada pihak Felda.

Sehubungan itu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan reman lapan individu termasuk broker,

pegawai bank, pengarah syarikat serta orang awam yang dipercayai bersekongkol dengan sindiket penjualan tanah di Melaka itu.

Pegawai bank terima rasuah cecah RM2 juta, sindiket jual tanah milik Felda akhirnya terbongkar

Penahanan yang dilakukan pihak SPRM di Kuala Lumpur itu membabitkan tiga broker dan dua orang awam, manakala dua pegawai bank serta seorang pengarah syarikat pula ditahan di Sabah.

Kesemua yang ditahan berusia di dalam lingkungan 20 sehingga 50-an dan perintah reman selama tujuh hari berakhir pada 17 Jun ini dikeluarkan oleh Majistret Lili Marisqa Khalizan di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur terhadap lima suspek lelaki.

Perintah reman selama enam hari sehingga 16 Jun terhadap tiga suspek iaitu dua wanita dan seorang lelaki pula dikeluarkan Majistret Wan Farrah Afriza Wan Ghazali di Mahkamah Majistret Kota Kinabalu selepas permohonan dibuat SPRM, semalam.

Memetik laporan Harian Metro, sumber mendedahkan bahawa tiga broker bersama-sama pengarah syarikat dan dua orang awam yang bertindak sebagai orang tengah itu memberikan rasuah mencecah RM2 juta kepada dua pegawai bank terbabit.

“Akaun perbankan yang dibuka dengan bantuan pegawai bank berkenaan atas nama Felda ini bagi memancing kepercayaan pembeli yang menyangkakan urus niaga penjualan tanah itu adalah tulen daripada Felda, seterusnya melakukan pembayaran ke akaun berkenaan.

“Tindakan pegawai bank yang bersekongkol dengan sindiket ini menyebabkan tanah milik Felda seluas kira-kira 260 hektar bernilai RM400 juta di Bukit Katil, Melaka sudah dijual pada 2023,” dedah sumber memetik laporan Harian Metro.

Menurut sumber, kesemua suspek ditahan antara jam 6 petang kelmarin sehingga 1 pagi semalam ketika hadir di Pejabat SPRM Kuala Lumpur dan Pejabat SPRM Sabah untuk dirakamkan keterangan.

Susulan penahanan itu, pihak SPRM juga dikatakan turut menyita hampir 200 akaun bank milik individu dan syarikat dengan nilai membabitkan lebih daripada RM28 juta.

Pengarah Bahagian Pencegahan pengubahan Wang Haram (AML) SPRM iaitu Datuk Mohamad Zamri Zainul Abidin mengesahkan tangkapan terhadap kesemua suspek berkenaan ketika dihubungi Harian Metro.

Jelas Mohamad Zamri, kes disiasat mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA).

Baca juga: “Dia luah rasa kecewa kahwin dengan isterinya, kalau dia tahu aku ada simpan hati pada dia mesti dia dah”