Pecat memecat di musim Covid-19, giliran aktivis masyarakat pula dipecat

Pecat memecat di musim Covid-19, giliran aktivis masyarakat pula dipecat

Kehadapan YB Rina Harun,
Menteri di KPWKM dan juga Pengerusi Yayasan Kebajikan Negara.

Saya terima pelepasan sebagai Ahli Pemegang Amanah Yayasan Kebajikan Negara dengan penuh rasa hormat dan akur. Tidak ada sebab personal tetapi perubahan hala tuju. Saya bukan lantikan politik dan saya juga rasa ada ramai yang lebih baik dan sesuai daripada saya.

Saya juga faham perspektif netizen dan walaupun ramai harapkan YB terima saya kembali saya rasa kurang molek cadangan tersebut dan kita bergerak maju sama membantu rakyat secara berasingan.

Namun begitu, mengenai YKN, saya mohon benar-benar mohon pihak YB memberi kelonggaran saya bekerja di bawah payung YKN sehingga musim Covid19 ini selesai.
Ini kerana saya sudah lama mengenali gerak kerja YKN di lapangan seperti di Pusat Transit Gelandangan dan Anjung Singgah Kuala Lumpur lebih lama daripada saya mengenali YKN. Ramai rakan saya di sana yang banyak membantu rakan jalanan kami setiap hari dan pelbagai usaha dan inisiatif yang telah kami sama sama saling bantu membantu.
Buat masa kritikal ini, saya seringkali bertanya khabar staff di lapangan mereka macam mana, keluarga mereka macam mana, beban tugas dan risiko yang mereka hadapi dan juga kebajikan kehidupan mereka. Mereka juga sering cari team NGO lain untuk bantu apa apa pun yang perlu bantuan pantas.
Saya mohon YB Rina Harun, memberi saya peluang menggunakan platform ini agar saya boleh membantu rakan staff YKN di tapak mereka sekarang.

Staff lapangan YKN bukanlah terdiri dari pasukan kepakaran perubatan dan semua mereka berkeluarga. Malah mereka sendiri layak menerima bantuan kebajikan juga sebab risiko tugas mereka amat tinggi. Jangan lupa dedikasi mereka juga tinggi. Susah nak cari staff macam mereka. Tapi ini tidak bermakna mereka boleh di pijak sesuka hati.

Berilah saya pimpin mereka kalau bukan sebagai ahli pemegang amanah tapi sebagai kawan untuk bukan sahaja memberi semangat tapi tunjuk ajar sepanjang musim yang mencabar ini. Please.

Saya faham mungkin tidak sesuai pihak YB memberi maklum balas terutama sekali kita tidak pernah kenal dan saya pun tidak tahu cara berhubung dengan pihak YB kecuali rakan mutual kita di laman sosial. Takpelah cuma ini sahaja yang ingin saya beritahu. Harap dibenarkan.

Cadangan mereka di lapangan untuk menggantikan tempat saya sebagai Ahli Pemegang Amanah yang neutral adalah Cikgu Mohd Fadli Salleh dan Tuan Khairul Hakimin Muhammad. Mereka neutral, banyak membantu orang yang memerlukan kebajikan dan pengikut mereka jauh lebih ramai untuk menaikkan nama dan sokongan pada pihak YB dan YKN seterusnya. Namun begitu, dengan sesiapa pun saya terima asalkan mahu bekerjasama demi rakyat.

Untuk CEO, saya rasa ada dikalangan mereka dalam HQ YKN yang boleh di didik untuk menerajui YKN walaupun bagi saya Datuk Paduka Che Asmah adalah pilihan tepat dengan timeline beliau yang realistik.

Saya tetap akan bekerja dengan pihak YB Rina Harun dalam platform lain seperti Pengerusi Pelindungan Kanak-kanak Wilayah Persekutuan dan Putrajaya (namun surat peletakan jawatan pernah di beri tapi tiada maklumbalas), Ahli Lembaga Pelawat Taman Seri Puteri Cheras (yang telah saya menabur bakti sekian lama- mohon pengekalan jika boleh) dan beberapa pos kecil di bawah KPWKM.

Satu perkara yang saya tidak boleh ubah adalah menegur jika ada yang batil dan menyokong usaha yang baik tak kira siapa.

Saya faham rayuan saya ini mungkin tak bertempat tapi saya rakyat biasa dan tak dilatih berprotokol cuma acuan adab hasil didikan mak ayah guru dan masyarakat sahaja yang saya ada. Tapi saya janji, habis musim Covid19, saya undur diri sendiri tanpa bunyi.

Maaf jika tidak berkesesuaian,
Salam hormat

Syed Azmi Alhabshi

Sumber FB :