PBT tidak naikkan kadar cukai selama 20 tahun, bagaimana PBT mahu berdikari?, soal Zuraida

PBT tidak naikkan kadar cukai selama 20 tahun, bagaimana PBT mahu berdikari?, soal Zuraida

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin hari ini memberitahu rata-rata pihak berkuasa tempatan (PBT) di seluruh negara sudah 20 tahun tidak menaikkan cukai taksiran bagi kawasan masing-masing.

Zuraida berkata, langkah tidak menaikkan cukai taksiran ini menyebabkan PBT menghadapi masalah kekurangan dana hingga menyekat mereka melaksanakan lebih banyak pembangunan di kawasan masing-masing.

“Kita lihat contohnya di Perak, Majlis Bandaraya Ipoh, kali terakhir naikkan cukai taksiran adalah 38 tahun lalu, iaitu pada 1982. Manakala di Terengganu, iaitu Majlis Bandaraya Kuala Terengganu pula pada 35 tahun lalu.

“Bila saya lihat rata-rata PBT di seluruh negara, PBT ini sudah tidak naikkan cukai taksiran mereka hampir 20 tahun. Jadi, bagaimana PBT ini mahu berdikari untuk melaksanakan kerja-kerja mereka.

“Bayangkan kalau mereka dapat laksanakan kenaikkan dalam 5 tahun sekali, seperti yang tertera dengan akta maka mereka ini akan menjadi lebih mampu untuk buat pembangunan di kawasan masing-masing,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Zuraida berkata, keputusan menaikkan cukai taksiran bagi setiap PBT masih tertakluk kepada keputusan kerajaan negeri masing-masing. Bahkan menurutnya, masih ada kerajaan negeri yang berharap dengan kerajaan Persekutuan untuk mendapatkan dana bagi pembangunan PBT.

“Kerajaan tempatan tidak dapat naikkan cukai taksiran kerana tertakluk kepada keputusan kerajaan negeri. Apabila tidak ada duit, kerajaan negeri tidak akan tampung, mereka akan harap dengan kerajaan Persekutuan.

“Bahkan ada juga kerajaan negeri yang pinjamkan duit dengan kerajaan tempatan dan turut mengenakan faedah lagi,” katanya.

Terdahulu, Zuraida memberitahu kementerian menggalakan PBT mengadakan mesyuarat secara terbuka, yang boleh ditonton masyarakat.

Katanya, pada 2017 hingga 2020, terdapat 16 PBT yang melaksanakan “live streaming”.

“Untuk adakan ‘live streaming’ ini, PBT harus keluarkan perbelanjaan. Puratanya setiap PBT memerlukan perbelanjaan RM80 ribu untuk menubuhkan ‘live streaming’. Ini supaya rakyat setempat tahu apa yang PBT laksanakan di kawasan mereka.

“Walaupun KPKT wajibkan mesyuarat diadakan secara terbuka, ia tertakluk kepada kerajaan negeri untuk meluluskan mesyuarat ini diadakan secara terbuka,” katanya.

Berita penuh :

COMMENTS