Patutlah Syahir Sulaiman tak jawab soalan debat, rupanya hanya jawab semata-mata nak jadikan content Tiktok
aya menonton Debat Ekonomi antara Syahir Sulaiman daripada PAS-PN dengan Rafizi Ramli, menteri ekonomi dengan perasaan menggebu-gebu.
Saya ingin mendengar konten Model Baharu Ekonomi Malaysia daripada Syahir. PAS adalah bekas parti lama saya.
Kalau-kalau PAS, diwakili Syahir yang disebut-sebut pemimpin muda dan galak parti tersebut itu betul ada isinya.
Saya tidak mahu mempedulikan sangat Rafizi Ramli. Saya sudah banyak membaca hujahan beliau. Yang saya mahu mendengarkan ialah tawaran ekonomi PAS.
Akan tetapi Debat Ekonomi yang sepatutnya menawarkan gagasan dan wacana yang dinantikan itu ternyata meleset sia-sia. Syahir kelihatannya tidak perlu model ekonomi apa-apa. Dia menjadikan Debat Ekonomi yang sepatutnya tepu perbahasan hujah menjadi seperti medan sensasi TikTok. Nanti semua karut-marut Syahir itu boleh dipenggal-penggal dan ditabur di grup WhatsApp.
Yang betulnya, ketika Debat Ekonomi itu, Syahir hanya bercakap kepada orang Bachok dan sejenis dengannya.
Dia bercakap kepada Melayu surau. Maka dalam ucapan beliau, tidak ada model. Tetapi ada renjis ayat suci al-Quran dan hadis kerana Syahir tahu siapa sasarannya.
Jika kita membaca hansard Dewan Rakyat yang merekodkan perbahasan YB PAS dari dulu hingga sekarang (minus mereka yang telah menjadi Amanah) kita akan beroleh konten seperti yang Syahir kemukakan dalam Debat Ekonomi pada 9 Ogos 2023 lalu.
@syahirnomic Bismillah. Saya bersedia. #Debat9Ogos #TeamSS #fyp ♬ Epic Music(863502) – Draganov89
Untuk menghiasi hujah, biasanya wakil PAS akan ada perli sindir. Demikianlah PAS sampai bila-bila, tetap adalah PAS. Iaitu kering-kontang dan kosong.
Mungkin hanya senyum Syahir yang sedikit manis menggodakan ramai muslimat itu akan tertinggal basah untuk dikenangkan.
Demi menjadikan argumen Syahir bermutu, dia akan menyandarkan kepada Islam. Sebab? Ya, sebab susah menyanggah Islam. Kalau membantah “keberkatan”, “rezeki”, “penolakan riba” maka itu nanti natijahnya tidak Islam. Maka Syahir memetik Nik Abdul Aziz Nik Mat. Sebab Almarhum seorang ikon.
Orang akan terhibur dengan cerita. Orang rasa bahagia dengan cerita-cerita yang Syahir turunkan. Cerita itu bila dipotong sunting dan dihantar ke TikTok boleh tular. Kemudian untuk menutup kegagalan berhujah, Syahir bercerita-bercerita-bercerita dan tiada memberi tawaran apa-apa.
Pokoknya, hanya PAS sahaja Islam. Maka inilah tawarannya, Islam. Jadi bacaan lapis kedua ialah kalau tidak mahu Islam, maka kafir; kalau kafir maka ada penampakan kaum tertentu. Itulah sifir mudah Syahir. Bahagi tolak darab campur sang bosnya, bernama Abdul Hadi.
Corak hujah dan pemikiran Syahir ini ada pada kebanyakan pemimpin PAS. Corak tersebut saya simpulkan sebagai tiadanya “semangat berfikir”.
Sosiologis terkemuka negara kita Almarhum Profesor Syed Hussein Alatas pernah mengatakan ketiadaan semangat berfikir ini sebagai suatu yang menakutkan. Bayangkan kita ada pemimpin negara tetapi tidak cukup menginspirasikan. Ciritnya sahaja ditertawakan dunia.
Dek tiada semangat berfikir ini maka Syahir membangkitkan kenangan lampau, dia mula meraban memetik Tunku Abdul Rahman, Tun Razak; maka tidak perlu menawarkan kreativiti dan inovasi.
Gara-gara tiada semangat berfikir maka Syahir meraban tentang jalinan serta status kerajaan persekutuan dan negeri. Seolah-olah dia tidak pernah membaca Perlembagaan. Ya “seolah-olah”, sebabnya audien Syahir bukan saya atau kamu. Audiennya Melayu surau.
Untuk Melayu surau tak apa-apa tiada semangat berfikir. Lulus tajwid, ada pulus dalam bank sikit-sikit, dan pastikan kedai runcit Cina di kampung itu kekal hanya satu pintu. Kalau nampak naik jadi dua setengah pintu maka Melayu surau akan terpekik-terlolong konon Islam terancam. Padahal Melayu surau inilah yang membeli ubat nyamuk lingkaran di kedai Cina dua setengah pintu itu.
Sebetulnya ada bahaya besar bila umat tiada semangat berfikir. Ini kerana ia akan menjadi kekangan untuk sesebuah masyarakat mencapai kemajuan daripada sebuah negara yang mundur kepada sebuah negara yang mencapai tahap pembangunan menyeluruh.
Syed Hussein menyebut hal tiada semangat berfikir ini sebagai formula “bebalisme”. Fenomena “bebalisme” ini boleh meletakkan bangsa dan negara di jurang.
Bebal. Apabila rakyat mengangkat pemimpin bebal, tidak kreatif, tiada daya cipta, tidak memberi solusi atau penyelesaian. Mereka bebal kerana menjual syurga khayalan. Bebalisme ini malah boleh menutup fakta “real” seperti tiadanya air bersih untuk dibuat mandi wajib di Kelantan.
Maka bila hati telah buta, benak bungkam mereka akan berbuat ketaasuban yang sama. Mereka akan percaya yang bebal itu bijak.
Sebagai pensyarah universiti, adalah amat menyakitkan hati melihat slaid model baharu ekonomi Syahir. Ada infografik sebuah rumah, yang kononnya bumbung itu kestabilan nasional, dan macam-macam lagi. Ia seperti tugasan pelajar separuh jiwa dan amat tidak bersedia. Pembentangan Syahir ternyata terlalu kebudak-budakan. Dia duduk mengulang kestabilan nasional macam orang gila. Orang waras tidak lupa PAS dalam kerajaan menutup Dewan Rakyat dan ingkar Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.
Jika ini tawaran ekonomis PAS, maka tidaklah menghairankan jika selama ini kerajaan Kelantan berdepan masalah saban masa untuk membangunkan negerinya. Semangat berfikir sama sekali tiada.
Tidak penting ada model ekonomi, seperti yang Syahir tunjukkan semasa debat itu, memang tiada isinya. Mesej Syahir memang untuk orang sepertinya, orang seperti di Marang dan sejenis dengannya. Dia bercakap kepada Melayu balaisah. Tak perlu pun dalam ucapan beliau itu sebarang model.
Cukup ada tafsir ayat suci yang entah kena konteks atau tidak itu. Tak perlu ada model. Tetapi yang mesti ada; ada biar kuyup lencun ialah ayat suci al-Quran dan hadis kerana sekali lagi Syahir tahu siapa sasarannya.
Untuk menghiasi argumen yang memang tiada kontennya itu, biasanya wakil PAS akan lepaskan satu dua perli. Lepas menghenjut satu dua sindir, Syahir akan senyum sebab serasa dia semacam berjaya mematuk dan memagut. Senyum Syahir tersipu penuh gula ala-ala abang exco Persatuan Mahasiswa Islam UM, UKM, UTM dan UPM yang sedikit lemak menggelorakan dada ramai muslimat itu akan tertinggal basah untuk dikenangkan, sehinggalah nanti siaran televisyen dimatikan.
Lain, memang tak ada apa-apa. Tiada nilai ekonominya.
Sifar.
Zero.
Tapi yang penting mereka tetap basah.