Penilaian tinggi yang dizahirkan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar terhadap kredibiliti dan kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim
selaku Perdana Menteri menunjukkan keyakinan institusi diraja terhadap reformasi pentadbiran yang sedang dilaksanakan kerajaan.
Penganalisis politik daripada Pusat Perdana Fakulti Razak, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Kuala Lumpur,
Dr Mazlan Ali berpandangan penilaian oleh Sultan Ibrahim itu pastinya dibuat berdasarkan pengalaman lalu baginda serta situasi semasa hubungan kerajaan Persekutuan dan negeri, khususnya Johor berbanding sebelum ini.
Mazlan berkata, penilaian tinggi oleh Sultan Johor itu jelas menunjukkan corak pemerintahan yang ditonjolkan Anwar antaranya sedia berbincang dan mendengar pandangan dalam hal berkaitan kepentingan negara termasuk ketegasan dalam menentang rasuah diterima baik bukan sahaja oleh rakyat tetapi penerimaannya juga ‘meresap’ sehingga ke istana.
“Penzahiran oleh Tuanku Sultan Ibrahim ini pastinya berdasarkan kepada sifat Tuanku sebagai ketua negeri dan sultan bagi negeri Johor yang secara umumnya berperanan di dalam sistem federalisme, iaitu hubungan di antara Persekutuan dengan negeri.
“Dengan pengalaman luas dalam hal federalisme, sudah pasti kenyataan Tuanku Sultan ini menunjukkan bahawa Kerajaan Perpaduan pimpinan Anwar sudah berada pada satu trek yang begitu baik dan dilihat sebagai kerajaan yang mampu untuk memacu pertumbuhan serta kemajuan negara kembali ke landasan yang betul,” katanya kepada Bernama.
Mazlan mengulas mengenai titah Sultan Ibrahim yang menyifatkan hubungan antara kerajaan Persekutuan dan Johor bertambah baik di bawah kepimpinan Anwar malah kerjasama itu adalah lebih baik berbanding mana-mana Perdana Menteri sebelum ini.
Sultan Ibrahim menerusi temu bual dengan sebuah akhbar tempatan pada Khamis juga dipetik sebagai bertitah mahu Kerajaan Perpaduan membersihkan amalan rasuah yang disifatkan sebagai ‘kanser’ yang perlu disingkirkan tanpa mengira sesiapa pun.
Mengulas lanjut, Pensyarah Kanan Fakulti Teknologi dan Informatik Razak itu berkata, penzahiran oleh Sultan Johor itu juga mungkin mengambil kira peluang dan kesan baik dari sudut perdagangan dan ekonomi kepada negeri Johor, kesan hubungan baik kerajaan Persekutuan dan negeri yang terbina itu.
“Sebagai seorang yang mengetuai sebuah negeri antara yang termaju dan paling hampir dengan Singapura, Tuanku Sultan pastinya melihat banyak peluang dari sudut perdagangan dan ekonomi bakal dinikmati rakyat…maka Tuanku membuat kenyataan sedemikian yang pada saya, ia adalah penzahiran yang jujur dan lahir berdasarkan pengalaman baginda dalam pemerintahan, khususnya yang berkaitan dengan urusan negeri dengan Persekutuan,” katanya.
Berhubung kenyataan yang mahu Kerajaan Perpaduan membersihkan perlakuan rasuah tanpa mengira sesiapa, Mazlan berkata, ia adalah atas keyakinan baginda terhadap keazaman dan konsisten Anwar melakukan ‘reformasi’ dan menentang rasuah sejak sekian lama.
“Saya percaya kenyataan Tuanku Sultan ini adalah atas keyakinan baginda terhadap keazaman, usaha-usaha dan tindakan yang dibuat oleh Anwar selaku Perdana Menteri dalam membersihkan negara daripada amalan rasuah dan memastikan tata kelola serta pentadbiran kerajaan yang lebih baik,” katanya.
Sementara itu, penganalisis politik dari Universiti Sains Malaysia (USM) Prof Dr Sivamurugan Pandian pula berkata, penghargaan dizahirkan Sultan Johor kepada Perdana Menteri ke-10 itu memberi isyarat jelas bahawa Kerajaan Perpaduan diterajui Anwar sedang bergerak ke arah kestabilan politik dan pentadbiran yang dihasratkan rakyat.
Justeru, katanya, Kerajaan Perpaduan seharusnya didukungi oleh semua pihak dengan memberikan nilai tambah kepada pembaharuan yang telah dan akan dilaksanakan oleh kerajaan selain memberi ruang kepada barisan Kabinet Anwar untuk membaik pulih tadbir urus negara.
Beliau berkata, Anwar juga berada di landasan yang betul apabila Perdana Menteri itu telah mengemudi dan mentadbir urus Kerajaan Perpaduan ke arah yang lebih baik dan utuh, walaupun kerajaan dibentuk menerusi gabungan pelbagai parti serta ideologi yang berbeza.
Selain itu, Sivamurugan berpendapat penghargaan Sultan Ibrahim itu juga menunjukkan gaya kepimpinan Anwar yang mengamalkan rundingan berpartisipasi dan akomodasi dalam melaksanakan sesuatu perkara terutamanya berkaitan agenda rakyat.
Beliau berkata, penghargaan dan penilaian tinggi yang diberikan ke atas Perdana Menteri tentunya didorong oleh maklum balas serta respons pantas diikuti dengan tindakan atau pelan pelaksanaan terhadap sesuatu cadangan yang dikemukakan oleh Baginda.
“Dalam hal ini Anwar juga dilihat mengamalkan amalan konsensus, yang akhirnya menjamin agenda rakyat dapat diberikan keutamaan,” katanya dan menambah ini juga membuktikan kredibiliti Anwar sebagai seorang Perdana Menteri yang berwibawa
BACA: Kucing wajib pakai mikrocip berkuatkuasa Jun 2024, jika ingkar pemilik kucing akan didenda RM2900