Masih ramai rakyat Malaysia yang tidak menyedari bahawa terdapat lampu isyarat di negara ini yang menggunakan sistem sensor.
Sistem ini memerlukan kenderaan berada di atas sensor tersebut agar lampu isyarat dapat bertukar warna.
Kebanyakan maklumat ini tular selepas seorang pengguna Facebook, Badrul Hisham, meluahkan rasa tidak puas hatinya
Di halaman Facebook Bandar Sri Putra Bukit Mahkota Community. Beliau mengadu tentang
pengguna kereta yang tidak berhenti di atas sensor, menyebabkan lampu isyarat tidak bertukar dari merah ke hijau.
Menurut Badrul, dia sering dimarahi oleh pemandu lain apabila meminta mereka berhenti di atas sensor, sedangkan tanpa melakukannya, lampu isyarat tidak akan bertukar.
“Tolonglah, kepada yang menggunakan lampu isyarat di pasar raya CS ke Bangi Wonderland, kalau lampu merah, jangan takut untuk berhenti dekat garisan. Kebodohan ini menyebabkan orang lain juga terpaksa menunggu.
“Cuba rapatkan kenderaan anda ke depan garisan. Sensor ini akan mengesan garisan hitam tersebut dan barulah lampu akan bertukar hijau. Jika tidak, tunggulah hingga lampu kekal merah.
“Saya sudah banyak kali mengalami situasi ini apabila kenderaan di hadapan tidak berhenti di garisan lampu isyarat. Bila saya tegur, saya pula dimarahi,” katanya.
Di ruangan komen, ramai yang berkongsi pengalaman serupa. Ada juga seorang pengguna Facebook yang mempersoalkan penjelasan Badrul Hisham. Namun, seorang pengguna lain mengesahkan kebenaran dengan berkongsi maklumat daripada Jabatan Kerja Raya (JKR).
“Yakin ke garisan itu sensor? Saya rasa macam tidak ada kaitan,” soal seorang wanita. Kemudian, Saiful Ammar berkongsi hantaran dari JKR mengenai sensor di lampu isyarat.
Wan Syaiful Azhar pula menjelaskan bahawa sensor ini tidak dapat mengesan motosikal, jadi pengguna kenderaan lain termasuk kereta perlu berada di atas sensor tersebut.
“Kalau di hadapan ada motosikal, sensor tidak akan mengesan. Saya terpaksa tunggu dua kali giliran lampu tidak bertukar hijau. Mungkin lebih baik jika sensor ini dibuang sahaja sebab semua laluan sudah sibuk. Sensor ini lebih sesuai untuk jalan yang tiada kenderaan. Ini, empat laluan sentiasa ada kenderaan,” katanya.
Aziz Shah pula menyebut bahawa sensor hanya akan mengesan kehadiran empat motosikal, bukannya satu.
“Motosikal perlu berada dalam jumlah empat atas garisan baru sensor akan mengesan. Tunggu lama dan panas pula,” ujarnya.
Melalui Facebook CKE JKR Selangor, pihak JKR menasihatkan pengguna untuk berada di atas ‘loop’ sensor bagi memastikan lampu isyarat bertukar warna.
“Untuk pengetahuan, ini dikenali sebagai ‘loop’ sensor. Jika tiada kenderaan di atas sensor, lampu isyarat akan tetap merah jika sistem lampu isyarat ‘base on demand’. Kenderaan anda perlu berada di atas ‘loop’ sensor,” kata hantaran tersebut.