Pepatah ada mengatakan, “Rambut sama hitam, hati lain-lain”. Dalam dunia yang penuh dengan kejutan ini,
setiap langkah yang kita ambil, terutama ketika merantau ke tempat orang, memerlukan kewaspadaan yang tinggi.
Baru-baru ini, seorang lelaki Malaysia berkongsi pengalaman cemas ketika melancong apabila dia hampir terjerat dalam situasi yang tidak dijangka.
Segalanya bermula ketika dia menaiki sebuah penerbangan antarabangsa.
Di sebelahnya, duduk seorang wanita yang nampaknya sangat ramah. Sebelum penerbangan bermula, wanita tersebut meminta bantuan untuk mengangkat begnya ke ruang penyimpanan di atas.
“Aku memang jenis tak tinggi, jadi aku memang elak nak sentuh compartment atas tu,” katanya.
Sepanjang penerbangan, lelaki ini dan wanita tersebut berbual mesra seolah-olah mereka sudah lama saling mengenali. Tiada sebarang syak wasangka timbul. Namun, keadaan mula berubah apabila pesawat hampir mendarat, dan wanita itu mengadu sakit perut yang teruk.
“Risau juga aku, jadi aku panggil pramugari dan mereka pun memberikan bantuan yang asas. Lepas itu, wanita tu mula panggil aku ‘anak’ dan pegang tangan aku kuat-kuat,” kongsi lelaki itu.
Selepas pesawat mendarat, seorang lelaki yang sebelumnya membantu wanita tersebut tiba-tiba mendekati lelaki ini dan memberikan amaran.
“Masa dah sampai, abang yang tolong dia tadi keluarkan beg dia dan bisik kat aku, suruh aku jangan rapat sangat dengan mak cik ni. Dia juga pesan supaya aku jelaskan kepada cabin crew yang kami tak travel bersama. Nasib baik aku dengar cakap dia,” tambahnya.
Situasi menjadi lebih mencurigakan apabila wanita tersebut mula merayu supaya lelaki ini membantu membawa beg tangannya keluar dari pesawat.
“Aku terkelu sedikit, tapi abang tadi geleng kepala kuat-kuat, macam suruh aku jangan buat. Dia siap bagi aku nota kecil, suruh aku biarkan cabin crew yang uruskan. Aku ikut nasihat abang tu, keluar je dari pesawat tanpa usik barang mak cik tu,” katanya.
Namun, selepas keluar dari pesawat, keadaan di lapangan terbang tiba-tiba menjadi kecoh. Rupanya, wanita tersebut cuba melarikan diri dengan kerusi roda sambil membawa bagasinya, tetapi polis lapangan terbang segera menahan wanita itu.
Apa yang mengejutkan, wanita tersebut mula menjerit dan menuduh lelaki ini sebagai “anak” yang meninggalkannya.
“Baru aku sedar, wanita tu rupanya bawa barang terlarang dan cuba libatkan aku dalam hal ni. Nasib baik abang tadi datang backup aku, jelaskan yang aku ni orang asing je. Polis minta mak cik tu bagi nama penuh aku, tapi dia tak boleh sebab aku tak pernah share nama aku dengan dia.”
Barang lelaki itu terpaksa diperiksa habis-habisan, tetapi tidak ada kaitan dengan barang wanita tersebut. Akhirnya, lelaki ini dilepaskan.
Kejadian ini memberikan pengajaran yang besar buat lelaki tersebut.
“Jangan sentuh barang orang lain di airport atau dalam pesawat, walaupun nampak macam tidak berbahaya. Itu barang mereka, tanggungjawab mereka. Barang kita, tanggungjawab kita. Sekarang kalau ada orang minta tolong angkat barang ke compartment atas atau apa-apa, aku terus panggil cabin crew. Mungkin nampak dingin, tapi ini semua tentang menjaga diri,” tegasnya.
Dunia ini penuh dengan individu yang licik yang tidak ragu-ragu untuk menjadikan orang lain ‘kambing hitam’ demi kepentingan mereka sendiri. Maka, berbuat baik itu bagus, tetapi berpada-pada lebih bijak. Siapa tahu, orang yang kita bantu hari ini, mungkin akan menjadi orang yang mencengkam kita di masa depan.
BACA: Tok Mat akui kesalahan, minta KKM kompaun kesalahan merokok undang pujian netizen