‘Patut diwarta sebagai hidangan warisan negara’ Rupanya ramai masih tak tahu Chicken Chop asal dari Malaysia

Oleh JUNITA ABD RAHIM

Umum mengetahui bahawa Malaysia bukan sahaja memiliki makanan tradisionalnya, tetapi juga hidangan dari pelbagai negara yang mudah didapati di pasaran.

Hidangan dari negara-negara seperti Barat, Korea, Jepun, dan banyak lagi sentiasa menjadi kegemaran masyarakat Malaysia, yang menghargai rasa yang sesuai dengan selera tempatan.

Namun, baru-baru ini, seorang lelaki warga asing, Greg Larcombe, mendedahkan bahawa hidangan terkenal “Chicken Chop”

sebenarnya bukan berasal dari masakan Barat, sebaliknya ia adalah ciptaan Malaysia.

Isu ini mula dibangkitkan oleh seorang pengguna TikTok yang terkejut apabila mendapati bahawa Chicken Chop sebenarnya berasal dari Malaysia.

'Patut diwarta sebagai hidangan warisan negara' Rupanya ramai masih tak tahu Chicken Chop asal dari Malaysia

Greg telah membuat video di TikTok mengenai perbandingan makanan dari Malaysia dan United Kingdom (UK).

Dalam video tersebut, seorang wanita yang dikenali sebagai Amy, yang dipercayai pasangan Greg, bertanya antara Shepperd Pie (UK) dan Chicken Chop (Malaysia) mana satu yang menjadi pilihannya

. Meskipun ia adalah pilihan yang sukar, Greg akhirnya memilih Shepperd Pie.

Namun, Greg menjelaskan bahawa Chicken Chop sebenarnya dicipta di Malaysia oleh masyarakat Hainan yang tinggal di negara ini. Menurutnya, ramai orang Malaysia tidak menyedari bahawa hidangan ini bukan makanan Barat, walaupun ia kelihatan seperti makanan Barat dan sering terdapat dalam menu makanan Barat di Malaysia.

Greg menerangkan bahawa pada abad ke-19, ramai masyarakat Cina, terutamanya dari suku Hainan di selatan China, berhijrah ke Malaysia dan bekerja sebagai tukang masak di rumah atau kem tentera British. Mereka mengadaptasi masakan mereka mengikut citarasa masyarakat Barat yang tinggal di Malaysia pada waktu itu.

Menurutnya, hidangan seperti Chicken Chop dicipta oleh masyarakat Hainanese dengan menyesuaikan rasa untuk memenuhi selera Barat, dan ia juga disajikan dengan sos yang tersendiri. Namun, hidangan ini bukan berasal dari Barat, malah ia adalah ciptaan Malaysia.

Greg juga menyatakan bahawa kita boleh berbangga mengatakan bahawa hidangan seperti “Ayam Tikka Masala” berasal dari Barat, tetapi tidak dengan Chicken Chop, yang merupakan ciptaan masyarakat Hainan di Malaysia.

Reaksi daripada netizen di ruangan komen video tersebut menunjukkan bahawa ramai orang Malaysia teruja dan terkejut mengetahui asal-usul Chicken Chop. Ada yang berkongsi pengalaman mereka yang tidak pernah menemui hidangan ini di negara Barat.

“Chicken Chop patut jadi hidangan utama kedua di Malaysia,” kata seorang pengguna, manakala yang lain menambah, “Hainanese Chicken Chop adalah yang terbaik!”

Ada juga yang mengungkapkan rasa terkejut mereka, “Patutlah bila saya pergi ke negara Barat, saya tak jumpa Chicken Chop, sangat terkejut!”

BACA: Dari 3 lorong jadi 1 lorong, tindakan orang ramai rai ‘jalan kaki ke Mekah’ undang kritikan netizen