Pasangan dicekup dengan dadah setengah juta ringgit di Marang

Pasangan dicekup dengan dadah setengah juta ringgit di Marang

Hasrat pasangan bertunang untuk mendirikan rumah tangga terbantut selepas kedua-dua mereka dicekup bersama pelbagai jenis dadah yang dianggarkan bernilai lebih setengah juta ringgit.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Terengganu, Superintendan Tium Ming Kung berkata pasangan yang berusia 21 dan 22 tahun itu diberkas di rumah sewa mereka di Kampung Jambu Bongkok, di sini pada Sabtu.

Katanya hasil serbuan juga berjaya merampas sejumlah dadah disyaki jenis syabu, heroin, yaba dan kodein yang dianggarkan bernilai lebih RM565,000.

Katanya bekalan dadah yang dirampas berkenaan mampu diedarkan kepada lebih 24,000 penagih di seluruh Terengganu.

“Tangkapan keatas seorang suspek lelaki iaitu suspek utama di tepi jalan semasa itu sedang memegang satu objek yang lepas diperiksa disyaki dadah.

“Susulan daripada tangkapan tersebut satu pemeriksaan telah dibuat di rumah dan pelbagai jenis dadah telah dijumpai di rumah dan di belakang rumah suspek tersebut dan dadah tersebut ada juga yang ditanam di tanah di belakang rumah suspek tersebut,“ katanya pada satu sidang media di sini hari ini.

Beliau berkata selain itu pihaknya juga berjaya merampas wang tunai lebih RM40,000, sebuah kereta, motosikal dan barangan perhiasan.

Katanya suspek lelaki yang berusia 22 tahun itu turut mempunyai rekod lampau kesalahan dadah dan jenayah dan dipercayai aktif mengedar dadah sejak hujung tahun lalu.

Jelasnya pihaknya percaya bekalan dadah berkenaan diperolehi dari negeri jiran untuk edaran di sekitar negeri Terengganu.

Katanya hasil ujian saringan air kencing mendapati kedua mereka negatif dadah.

Menurutnya pasangan berkenaan direman sehingga 26 Februari bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 39b Akta Dadah Berbahaya 1952.

Berita Penuh :https://www.astroawani.com/berita-malaysia/pasangan-bertunang-dicekup-dengan-dadah-lebih-setengah-juta-ringgit-di-marang-284129