Pas cadang anugerahkan Dato kepada pemimpin Pas peringkat kawasan

Pas cadang anugerahkan Dato kepada pemimpin Pas peringkat kawasan

PAS Wilayah Persekutuan menyeru ahli-ahli PAS dari segenap lapisan masyarakat tidak mengira ahli Dewan Ulamak, Muslimat PAS, Pemuda PAS atau Assabiqun mendaftarkan diri sebagai Sukarelawan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM).

Menurut wakil mereka, Abdul Rani Mohamad Daud, dalam usaha mengoptimumkan kerja-kerja Islam, ahli-ahli PAS perlu memanfaatkan kedudukan PAS ketika ini yang berada di blok kerajaan dengan menampilkan program-program berimpak tinggi yang tentunya memanfaatkan rakyat.

“Kami di Wilayah Persekutuan, meminta dan mencadangkan semua ahli PAS menyertai sukarelawan YADIM agar kita dapat menyertai amal islami dalam entiti kerajaan, dan tidak semata-mata dari laluan parti.

“Oleh itu, saya menyeru kepada semua PAS negeri-negeri, kawasan-kawasan dan pelbagai entiti PAS hendaklah terlibat dalam NGO dan NGI di bawah laluan YADIM.

“Target kita, kita ingin kumpulkan 10,000 sukarelawan YADIM sebelum Disember 2020, semua boleh terlibat baik dari ahli Dewan Ulamak, Pemuda PAS, Muslimat PAS dan Assabiqun PAS,” ujarnya ketika membahaskan Ucapan Dasar Presiden PAS pada Mukatamar Tahunan PAS kali ke-66 di Pusat Tarbiyah Islamiyah Kelantan (PUTIK), di sini, hari ini.

Sementara itu, PAS Wilayah Persekutuan turut mencadangkan supaya kerajaan negeri yang dipimpin PAS menganugerahkan pangkat atau gelaran Dato’ kepada Pesuruhjaya Negeri-negeri, Yang Di-Pertua Kawasan termasuk Pengerusi Tetap dan Timbalan Pengerusi Tetap bertujuan untuk menarik sokongan rakyat kepada PAS.

Katanya, cadangan tersebut diyakini dapat memberi rasa hormat dan keterujaan kepada masyarakat setempat terhadap pemimpin-pemimpin mereka yang memiliki pangkat.

Mengulas lanjut, kata Abdul Rani, dalam melaksanakan program yang menfokuskan golongan sasar tertentu, PAS perlu sedar terdapat beberapa jenis penyokong dan golongan-golongan yang mendekati parti.

Pertama, golongan yang beriman, iaitu ahli-ahli PAS dan para penyokong yang perlu disantuni dan diajak untuk bekerja bersama-sama demi mencapai kemenangan.

Keduanya, golongan yang ragu-ragu, iaitu orang yang tidak berparti, yang memberi undi kepada mana-mana parti diminati.

Kata Abdul Rani, golongan kedua perlu didekati dan diberi penjelasan serta penerangan supaya mereka yakin untuk mengundi PAS.

“Ketiga, golongan orang yang mencari kebendaan, golongan ini akan sentiasa berada di sisi parti yang menang, ini kerana matlamat mereka hanya memandang kepada manfaat yang diperoleh apabila menyokong PAS.

“Oleh itu, saya mencadangkan agar Pesuruhjaya-pesuruhjaya negeri, YDP-YDP kawasan termasuk Pengerusi Tetap dan Timbalan Pengerusi Tetap untuk dianugerahkan gelaran Dato’ dan sebagainya oleh negeri-negeri yang kita perintah termasuk Kelantan, Terengganu dan Kedah.

“Kerana jika kita hendak menarik sokongan mereka kepada PAS, perlu diakui bahawa rakyat sangat menghormati dan teruja dengan pemimpin-pemimpin mereka apatah lagi gelaran dan pangkat yang mereka milik,” ujarnya sambil meyakini cadangan tersebut akan disokong oleh Timbalan Pengerusi Tetap. – HARAKAHDAILY 13/9/2020

Berita penuh : https://www.google.com/amp/s/harakahdaily.net/index.php/2020/09/13/pas-wilayah-persekutuan-seru-jadi-sukarelawan-yadim/amp/

COMMENTS