Pas tetap mahu beri sokongan kepada Muhyiddin

Pas tetap mahu beri sokongan kepada Muhyiddin

Pas menyeru parti politik yang diberikan amanah untuk membentuk kerajaan yang kini dipimpin Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin terus memberikan sokongan padu tanpa sebarang ganggu-gugat.

Setiausaha Agung PAS, Takyuddin Hassan berkata, ini bagi membolehkan kerajaan befungsi dengan baik dan efektif.

“Jemaah Kabinet yang dianggotai oleh parti-parti Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN), GPS, PAS, dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) mestilah bertindak secara kolektif dan bertanggungjawab dengan memberikan keutamaan dan fokus kepada kesejahteraan rakyat.

“Terutama pada era sukar ketika semua pihak berusaha bertungkus lumus bagi menangani penularan semula pandemik Covid-19 serta langkah memulihkan ekonomi negara yang teruk terjejas,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Takiyuddin berkata, keputusan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah sebelum ini dibuat atas kebijaksanaan dan langkah berhikmah bagi menyelesaikan sebarang kemelut, termasuklah politik, sehingga berjaya membawa kepada ketenangan, keharmonian dan kestabilan dalam negara.

Katanya, PAS yakin Agong telah bertindak berdasarkan segala kuasa prerogatif dan budi bicara sebagaimana yang diperuntukkan oleh perlembagaan dan undang-undang negara berdasarkan konsep Raja Berperlembagaan.

Terdahulu Setiausaha Agung Umno Ahmad Maslan berkata, parti itu menimbangkan sokongannya kepada PN dan akan mengemukakan syarat baru kepada kerajaan bagi meneruskan kerjasama politik itu.

Beliau juga berkata, Umno akan mencadangkan supaya Muafakat Nasional (MN) didaftarkan sebagai sebuah parti politik.

Ini berikutan pertemuan Presiden PKR Anwar Ibrahim dengan Agong pada Selasa.

Susulan itu Istana Negara memaklumkan Anwar tidak mengemukakan senarai nama ahli Dewan Rakyat untuk mengukuhkan dakwaan beliau yang mempunyai sokongan di Parlimen.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, dalam sesi berlangsung lebih kurang 25 minit itu, Anwar hanya mengemukakan jumlah ahli Dewan Rakyat yang didakwa memberi sokongan kepada beliau.

Berita penuh : https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2020/10/15/kerajaan-pimpinan-muhyiddin-perlu-diberi-sokongan-padu-tanpa-diganggu-gugat-kata-pas/

COMMENTS