Pas gagal untuk damaikan Umno dan Bersatu

Pas gagal untuk damaikan Umno dan Bersatu

Pas dijangka sukar menjalankan peranan sebagai ‘gam’ bagi merapatkan kembali hubungan tegang antara UMNO dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), sekali gus merealisasikan pembentukan koalisi perdana parti Melayu.

Penganalisis politik dari Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Madya Dr Mohd Izani Mohd Zain berkata, peranan yang dipertanggungjawabkan kepada Pas itu dianggap hampir mustahil, mengambil kira pengaruh dan ego UMNO dan Bersatu adalah sangat kuat dalam kalangan pengundi Melayu.

Menurutnya, sejarah politik negara juga membuktikan tiada parti dalam sesuatu koalisi politik yang mampu menjadi pendamai kepada parti-parti seangkatan yang bertelagah sesama mereka.

“Saya ambil contoh Parti Amanah Negara (Amanah) gagal menjadi gam mendamaikan Bersatu dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) sewaktu pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (PH). Bahkan PKR sendiri pun gagal mendamaikan Pas dan DAP sewaktu koalisi Pakatan Rakyat (PR).

“Bagaimanapun, saya yakin Pas akan cuba memainkan peranan itu sebaiknya untuk memastikan koalisi perdana parti Melayu dapat dimuktamadkan bagi menghadapi pilihan raya umum ke-15 (PRU15),” katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan penganalisis politik daripada Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dr Sivamurugan Pandian yang menegaskan hala tuju pembentukan koalisi perdana parti Melayu kini terletak di tangan Pas.

Berita Penuh : https://www.sinarharian.com.my/article/124411/BERITA/Politik/Hampir-mustahil-Pas-jadi-gam-damaikan-UMNO-Bersatu