Pas gagal capai kata sepakat – Nik Abduh

Pas gagal capai kata sepakat – Nik Abduh

PAS menerima dengan terbuka kegagalannya mencapai kata sepakat dengan Umno dan komponen Perikatan Nasional (PN) yang menyebabkan tiada wakil daripada parti itu bertanding dalam pilihan raya negeri (PRN) Sabah, kata Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz.

Ahli Jawatankuasa Pusat PAS itu berkata, walaupun dukacita namun pihaknya berlapang dada , sekali gus memberi bayangan bahawa kegagalan itu tidak akan menjejaskan perancangan parti itu pada masa depan.

“PAS menjunjung politik akhlak yang mulia dan moral tinggi. Sebagaimana insan mulia akhlaknya membina keindahan untuk dirinya, begitulah untuk orang disekelilingnya.

“Ia memancar cahaya buat semua rakan-rakan dan mencetus kegembiraan.

“Mesej PAS ialah rakyat mahukan politik negara yang lebih berintegriti dan sejahtera. Semuanya mesti bermula dengan kesepakatan sesama parti politik. Ia bukan mudah. Ia perlukan perjuangan berterusan. Istiqamah,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Nik Abduh yang juga ahli Parlimen Bachok mendakwa ada pihak yang ingin melihat PAS “memberontak” berikutan kegagalan rundingan itu dengan bertanding sendirian dalam PRN Sabah bagi memecahbelahkan kesepakatan dalam PN dan Umno.

“Dengan itu, mereka mendapat senjata paling ampuh (untuk) melakukan serangan sepanjang kempen pilihan raya. Malang buat mereka, PAS memilih jalan kemuliaan.

“Orang menang senyum gembira. Orang kalah asyik mempersenda mengubat duka.

“Mesej dan matlamat perjuangan kekal dipertahankan. PAS gembira melihat parti-parti rakan memasuki pilihan raya dengan penuh kesatuan.

“Semoga menang dan berjaya buat Umno dan rakan-rakan di Sabah,” katanya yang mengesahkan akan hadir berkempen dalam PRN Sabah.

Semalam, Presiden PAS Abdul Hadi Awang dipetik berkata bahawa parti itu memberi laluan kepada rakan dalam gabungan PN bagi memastikan pertandingan 2 penjuru berjalan dalam PRN Sabah.

Beliau berkata, keputusan itu dibuat bagi memelihara permuafakatan yang terjalin serta mengambil kira implikasi politik pada masa akan datang.

Proses penamaaan calon bagi PRN Sabah yang dijadualkan akhir bulan ini tamat pagi tadi bagi merebut 73 kerusi Dewan Undangan Negeri, termasuk 13 kerusi baru.

Seramai 1.12 juta pengundi layak mengundi dalam pilihan raya kali ini.

Berita penuh : https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2020/09/12/nik-abduh-pas-akur-gagal-capai-kata-sepakat-dengan-komponen-pn-di-sabah/

COMMENTS