Pas dan Umno tak mahu jadi PM, calon Muhyiddin – Tuan Ibrahim

Pas dan Umno tak mahu jadi PM, calon Muhyiddin – Tuan Ibrahim

PAS menafikan Muafakat Nasional tidak mempunyai calon berkelayakan untuk diangkat sebagai Perdana Menteri kerana menyokong pencalonan Tan Sri Muhyiddin Yassin bagi mengisi jawatan itu selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man menjelaskan keputusan terbabit dibuat atas dasar kerjasama dalam Perikatan Nasional (PN) selain penerimaan yang ditunjukkan rakyat terhadap Ahli Parlimen Pagoh itu.

Tambahnya, keputusan yang dibuat oleh PAS dan UMNO melalui mesyuarat Muafakat Nasional itu juga membuktikan kedua-dua parti itu tidak tamak meskipun mempunyai ramai calon yang layak bagi jawatan nombor satu negara itu.

“Keputusan ini (calon PM) adalah keputusan mesyuarat Muafakat Nasional… kita bukan tamak dan bagi kita apa beri kebaikan kita terima.

“Rakyat memilih serta buat penilaian dan kita lihat itu yang terbaik bagi rakyat dan negara. Bukan isu (tiada calon), calon kita ramai, kita ada tapi apa yang penting adalah Tan Sri Muhyiddin diterima rakyat… dan apa yang dibuat sangat baik untuk negara,” katanya.

Tuan Ibrahim berkata demikian ketika ditemui media selepas Mesyuarat Majlis Penasihat Kerajaan PAS bersama Presiden PAS di Seri Mentaloon di sini, pada Sabtu.

Pada Jumaat, Presiden Parti Putra Malaysia (PUTRA), Datuk Dr Ibrahim Ali, mendakwa keputusan Muafakat Nasional yang bersetuju menamakan Muhyiddin sebagai calon perdana menteri menunjukkan gabungan itu tidak mempunyai tokoh untuk ditonjolkan.

Terdahulu, Muafakat Nasional secara prinsip bersetuju menyokong Muhyiddin yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sebagi calon Perdana Menteri bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Setiausaha Bersama MN, Tan Sri Annuar Musa menjelaskan keputusan itu dicapai dalam satu mesyuarat Jawatankuasa Pemandu gabungan itu, baru-baru ini.

Sementara itu, beliau berkata PN belum berbincang mengenai senarai calon bagi jawatan timbalan perdana menteri kerana memberi tumpuan membina kestabilan ekonomi negara serta menyelesaikan permasalahan rakyat pasca COVID-19.

Dalam perkembangan sama, beliau mengesahkan wujud perbincangan mengenai Bersatu menyertai Muafakat nasional, namun belum ada keputusan mengenainya.

Pada Khamis, Majlis Perundingan Melayu (MPM) mendedahkan bahawa Bersatu bersetuju menyertai Muafakat Nasional pada mesyuarat membabitkan ketua-ketua parti dalam Perikatan Nasional (PN) yang berlangsung pada Rabu.

Berita penuh : http://www.astroawani.com/berita-politik/pas-umno-tidak-tamak-untuk-jadi-pm-tuan-ibrahim-249800

COMMENTS