Pas dan Trump sama ‘sebiji’, kalah pilihan raya tapi nak jadi kerajaan – Mohamad Sabu

Pas dan Trump sama ‘sebiji’, kalah pilihan raya tapi nak jadi kerajaan – Mohamad Sabu

Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Mohamad Sabu menyifatkan Pas menurut jejak Donald Trump yang dikenali sebagai pemuja keunggulan orang kulit putih (white supremacy).

Presiden Amerika Syarikat (AS) ke-45 sejak tahun 2016 itu juga didakwa menghasut penyokongnya menyerang ganas bangunan Capitol minggu lalu.

“Saya berucap di Parlimen menentang kempen ‘white supremacy’ yang dibawa oleh Trump.

“Tetapi Pas perjuangkan ‘Malay supremacy’ demi peroleh kuasa walaupun tidak ada satu pun isu Melayu Islam yang mereka bisingkan sebelum ini diselesaikan.

“Yang ada lulus judi 22 kali. Pas ikut sunnah Trump. Yang ikut sunnah Trump itu Pas. Kalah pilihan raya tapi nak jadi kerajaan,” ujarnya dalam ciapan di Twitter hari ini.

Untuk rekod, kerajaan menambah kekerapan cabutan khas judi daripada lapan kali setahun pada tahun 2020, kepada 22 kali setahun bermula tahun ini.

Mohamad yang juga bekas Menteri Pertahanan berkata, Trump mengisytiharkan darurat di Washington DC selepas penyokong menyerang Parlimen iaitu bangunan Capitol kerana takut hilang kuasa.

“Pas dan Trump sama ‘sebiji’. Cara sama. Tujuan pun sama,” tempelak Ahli Parlimen Kota Raja itu lagi.

Beliau turut mengingatkan sikap Pas sebelum ini yang kerap menggunakan alasan kerana Islam untuk pelbagai situasi politik.

“Dahulu ketika lawan Umno kerana Islam, nak kerjasama dengan Umno pun kerana Islam, rampasan kuasa tebuk atap juga kerana Islam, menyokong Muhyiddin mohon darurat untuk pertahan kuasa juga kerana Islam.

“Naikkan cabutan khas judi 22 kali setahun pula kerana apa? Islam jadi bahan gadaian,” tambah Mohamad lagi.-MalaysiaDateline

COMMENTS