Pas dakwa kenyataan Asyraf Wajdi berkaitan agihan kerusi bukan mewakili Umno

Pas dakwa kenyataan Asyraf Wajdi berkaitan agihan kerusi bukan mewakili Umno

Kenyataan Ketua Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkaitan perbincangan mengenai pengagihan kerusi antara Pas, UMNO dan Perikatan Nasional (PN) tidak mewakili pendirian sebenar UMNO.

Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, sebarang kenyataan rasmi berhubung urusan berkenaan terutama membabitkan antara Pas dan UMNO hanya boleh dibuat Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

“Saya kira Asyraf Wajdi bukan Presiden UMNO, biar Presiden UMNO yang buat kenyataan itu, sebab Pas sendiri, Ketua Pemuda Pas pun tak pernah buat kenyataan seperti itu, jadi saya tidak mahu mengeluarkan sebarang komen mengenainya,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Perjumpaan bersama Datuk Bandar dan Yang Dipertua (YDP) Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Kedah di Pejabat Daerah Baling, di sini hari ini.

Tambahnya, kerjasama antara UMNO dan Pas dalam Muafakat Nasional masih utuh dan tidak akan terkubur berikutan pembentukannya adalah sebagai wawasan ke arah penyatuan ummah.

“Kerjasama Muafakat Nasional bukanlah gabungan politik tapi ia merupakan satu wawasan dan visi yang sentiasa hidup. Malah kita juga terbuka untuk menerima mana-mana pihak yang mempunyai wawasan yang sama,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menjelaskan bahawa pihaknya masih melakukan perbincangan bersama UMNO dan PN berhubung pengagihan kerusi bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Tambahnya, sebarang keputusan rasmi berkaitan perkara itu hanya akan diputuskan selepas Parlimen dibubarkan kelak.

“Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) juga ketika ini bersedia bagi menghadapi sebarang kemungkinan termasuk PRU15 yang dijangka berlaku dalam masa terdekat,” katanya.

Jumaat lalu, Asyraf Wajdi berkata, perbincangan mengenai pengagihan kerusi pilihan raya di antara UMNO dan Pas tidak lagi membabitkan dua parti itu kerana Pas secara rasmi menyertai PN sebagai parti komponen.

Menurut beliau, kerjasama UMNO dan Barisan Nasional (BN) dengan PN untuk PRU15 kelak akan banyak bergantung kepada soal persefahaman dalam pengagihan kerusi.

Berita Penuh : https://www.sinarharian.com.my/article/115611/BERITA/Politik/PRU15-Kenyataan-Asyraf-Wajdi-tidak-wakili-UMNO-kata-Pas

COMMENTS