Pas bertekad dengan MN dan kerajaan PN

Pas bertekad dengan MN dan kerajaan PN

PAS bertekad memperkasakan gagasan Muafakat Nasional (MN) dan pada masa sama mempertahankan kerajaan Perikatan Nasional (PN), kata Setiausaha Agungnya, Datuk Takiyuddin Hassan.

Sehubungan itu, beliau menegaskan, PAS tidak mahu terbabit dan diheret ke dalam sebarang polemik politik yang membawa negara ke kancah perpecahan kerana ia akan mengundang ketidakstabilan dan ancaman terhadap keamanan serta kehidupan dan ekonomi rakyat.

Takiyuddin yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), berkata PAS sebagai parti politik utama negara berprinsipkan Islam, dengan tegas berpandangan bahawa aspek perpaduan amat penting dalam proses membina negara demi kepentingan rakyat.

“Selepas bersama memimpin ke arah perpaduan ummah melalui Muafakat Nasional (MN), PAS bersama menyelamatkan negara melalui persefahaman menubuhkan kerajaan Perikatan Nasional (PN).

“PAS berpandangan, semua pihak perlu komited, jujur dan bertanggungjawab dalam menguruskan pemerintahan dan pentadbiran negara, terutama kini dalam keadaan yang amat sukar,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Semalam, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dilaporkan berkata, sebarang usaha membentuk pakatan baharu dengan pelbagai jenama, perlu ditolak dalam keadaan MN dan PN baru ditubuhkan.

Katanya lagi, perpaduan sedia ada wajib dipertahankan sejajar usaha menyatukan umat Islam menerusi penubuhan MN yang diasaskan oleh PAS dan UMNO.

Takiyuddin berkata, PAS meminta rakan politik terutama di pihak kerajaan agar terus berlapang dada, bertolak ansur serta mengambil iktibar dari peristiwa lampau demi maslahat rakyat yang memerlukan kepemimpinan yang baik dan berintegriti.

“PAS amat percaya hanya perpaduan yang sejati dan ikhlas sahaja mampu membawa kepada pembinaan negara yang harmoni, maju, bersatu padu serta saling menerima dan hormat menghormati di antara rakyat pelbagai kaum, agama, adat resam dan budaya di negara kita,” katanya.

Berita penuh : https://www.bharian.com.my/berita/politik/2021/01/771561/pas-tekad-perkasa-mn-pertahan-kerajaan-pn

COMMENTS