Parlimen digantung, demokrasi Malaysia sudah ‘dikafankan’ – Zahid

Parlimen digantung, demokrasi Malaysia sudah ‘dikafankan’ – Zahid

Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menyifatkan demokrasi negara ini telah ‘dikafankan’ selepas Parlimen digantung susulan Proklamasi Darurat.

Menurut beliau, penggantungan Parlimen juga sekali gus menyebabkan suara rakyat yang dibawa oleh setiap Ahli Parlimen seolah-olah ditutup apabila tidak dapat disuarakan di Dewan Rakyat.

“Wakil rakyat sepatutnya duduk di Parlimen menyuarakan suara dan nadi rakyat, apabila demokrasi telah ‘dikafankan’ atau sekurang-kurangnya ‘disemadikan’ maka apakah suara rakyat harus ditutup kerana kita bukan mulut tempayan?

“Kita harus mengetahui, rakyat harus diutamakan dalam apa keadaan sekalipun,” katanya dalam temu bual bersama portal Malaysia Post baru baru ini.

Sehubungan itu, Ahmad Zahid berkata, tindakan Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Seri Azalina Othman Said mengirim surat kepada Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harus memohon mempertimbangkan penggantungan tugas-tigas Jemaah Menteri digantikan dengan pelantikan Kabinet Darurat Khas merupakan terjemahan suara Ahli Parlimen UMNO dan rakyat.

“Suara Timbalan Speaker Dewan Rakyat (Azalina Othman Said) adalah suara kita, bukan suara beliau sahaja.

“Apabila beliau menulis surat kepada Peguam Negara bukan sahaja dari aspek perundangan dan politik, tetapi itu adalah suara rakyat disalurkan oleh beliau melalui pemikiran beliau,” kata Ahmad Zahid lagi.

Peranan Kabinet dan parlimen dalam konteks darurat

Dalam masa sama, Ahli Parlimen Bagan Datuk itu berkata, beliau menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah yang mengisytiharkan darurat pada 12 Januari lalu.

Bagaimanapun, tegas beliau, apa yang menjadi persoalan ialah kenapa sidang Parlimen digantung dan dalam masa sama sektor industri dibuka semula.

“Tentunya perkara ini mengkehendaki dan meminta Parlimen bersidang. Kenapa Parlimen tidak boleh bersidang? Tetapi pasar malam dibuka, pusat beli-belah dibuka?

“Adakah Ahli Parlimen lebih bahaya daripada pengunjung pasar malam?” tegas Ahmad Zahid penuh sinis.

Darurat | Perintah darurat tidak sah, tidak boleh dikuatkuasakan

Menurut Presiden UMNO itu lagi, matlamat asal darurat diisytiharkan ialah bagi menyelesaikan krisis kesihatan dalam negara akibat COVID-19 dan dalam masa sama kerajaan sudah pun mempunyai prosedur operasi standard (SOP) yang ketat terhadap usaha menangani pandemik itu.

Justeru, Ahmad Zahid bingung kenapa darurat perlu diisytiharkan ketika usaha bersungguh-sungguh kerajaan untuk membanteras COVID-19 sudah jelas terbukti.

“Hakikat sebenarnya matlamat asal menangani COVID-19, tapi kita ada SOP cukup ketat, bagi saya tidak perlu darurat diisytiharkan.

“Saya amat setia titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah yang telah dinasihati Perdana Menteri dan beliau juga dapat mandat daripada Jemaah Menteri,” ujar beliau lagi.

Mengulas mengenai jumlah jangkitan baharu COVID-19 yang masih tinggi dalam negara, Ahmad Zahid secara sinis mengucapkan peningkatan yang sedang berlaku dalam gelombang masa ini merupakan ‘kejayaan besar’ kerajaan Perikatan Nasional (PN).

“Terdapat anggaran bahawa kes boleh mencapai 20.000 sehari pada bulan Mac. Ia sememangnya merupakan pencapaian yang baik dan ‘kejayaan besar’ bagi negara kita.

“Tentunya ini memberi alasan darurat harus diperpanjang kerana pandemik ini,” kata Ahmad Zahid lagi.

Berita penuh : https://www.astroawani.com/berita-malaysia/demokrasi-malaysia-telah-dikafankan-selepas-parlimen-digantung-zahid-hamidi-284157