Panas !!! Pertikai keputusan speaker berhubung isu “DG takut mati”, MP digantung 5 hari

Panas !!! Pertikai keputusan speaker berhubung isu “DG takut mati”, MP digantung 5 hari

Isu ‘DG takut mati’ berlarutan hingga hari ini yang menyaksikan seorang Ahli Parlimen pembangkang diarah keluar dewan dan digantung lima hari oleh Speaker Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun.

Lip Lim Eng (PH-Kepong) dikenakan tindakan itu selepas ingkar dengan arahan Speaker selepas tidak bersetuju dengan keputusan Azhar berhubung isu yang dibangkitkan.

Malah, pada satu ketika Azhar mengarahkan bentara Dewan Rakyat meminta bantuan polis apabila Lim Eng enggan mematuhi arahan supaya keluar dewan.

Azhar juga dilihat hilang sabar apabila meninggikan suaranya ketika mengarahkan Lim Eng keluar dewan yang mana Lim Eng akhirnya mematuhi arahan keluar dewan.

Terdahulu Azhar ketika mempengerusikan persidangan mengarahkan Lim Eng duduk selepas Ahli Parlimen Kepong itu menyatakan perintah yang dibuat Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Seri Azalina Othman semalam berhubung perbahasan Datuk Seri Tiong King Sing (GPS-Bintulu) yang menyentuh berkaitan isu ‘DG takut mati’ adalah bodoh.

Isu itu bermula apabila Sim Tze Tzin (PH-Bayan Baru) bangun meminta Azhar memberi petua berhubung ucapan King Sing semalam dan mencadangkan supaya Menteri Kesihatan diarahkan membuat kenyataan dan memohon maaf.

Bagaimanapun, Azhar menjelaskan perintah sudah dibuat dan beliau tiada kuasa membuat arahan itu.

Kenyataan Tze Tzin itu disokong Lim Guan Eng (PH-Bagan). Lim Eng kemudian mencelah menyatakan keputusan Azhar itu sebagai bodoh.

Tindakan itu menyebabkan Dewan Rakyat kecoh dan beberapa penyokong kerajaan meminta Lim Eng menarik balik kata-katanya itu.

Berang dengan kenyataan itu, Azhar meminta Lim Eng keluar dewan dan mengenakan tindakan penggantungan dua hari.

Lim Eng tetap enggan keluar dan terus mempertikaikan tindakan Azhar menyebabkan Speaker itu menambah tempoh penggantungan kepada lima hari.

Azhar turut mengarahkan bentara mengiringi Lim Eng keluar Dewan Rakyat tetapi Ahli Parlimen itu tetap tidak mahu berganjak menyebabkan Azhar mengarahkan Setiausaha Dewan memanggil polis.

Tindakan itu menyebabkan kekecohan di Dewan Rakyat dan beberapa Ahli Parlimen pembangkang bangun membantah supaya polis tidak dibabitkan dalam urusan dewan tetapi Azhar menyatakan beliau ada kuasa untuk berbuat demikian.

Tze Tzin meminta Speaker tidak memanggil polis kerana itu akan menjadi duluan yang belum pernah berlaku di Dewan Rakyat.

Azhar menyatakan beliau terpaksa mengambil tindakan itu kerana Lim Eng enggan mematuhi arahan walaupun bentara Dewan Rakyat sudah diarahkan mengiringi keluar.

“Saya boleh panggil polis kerana itu kuasa saya sebagai Speaker melancarkan perjalanan mesyuarat,” katanya.

Berita penuh : https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2020/11/753397/isu-dg-takut-mati-berlarutan-ahli-parlimen-kepong-digantung-5-hari

COMMENTS