Pengamal undang-undang menyatakan bahawa Majlis Peguam bersikap berat sebelah dan prejudis dalam pendirian mereka terhadap hukuman sebat yang dikenakan ke atas pesalah khalwat.
Wan Rohimi Wan Daud, berkata sebagai badan yang diamanahkan untuk memantau pelaksanaan undang-undang (rule of law),
Majlis Peguam seharusnya mengeluarkan kenyataan berdasarkan kajian akademik dan perundangan, bukan sentimen semata-mata.
Beliau menjelaskan bahawa Majlis Peguam tentu sedar bahawa hukuman sebatan syariah di Malaysia jauh berbeza dengan sebatan sivil, baik dari segi kaedah mahupun kesan kepada pesalah.
Sebatan syariah, katanya, tidak mendatangkan kecederaan berbanding sebatan sivil yang boleh mengakibatkan kecederaan serius hingga kematian.
“Rotan yang digunakan untuk sebatan syariah diperbuat daripada rotan atau ranting kayu tanpa ruas, dengan panjang tidak melebihi 1.22 meter dan diameter tidak lebih daripada 1.25 sentimeter,” jelas beliau.
“Oleh itu, tidak timbul isu bahawa sebatan syariah adalah kejam, tidak berperikemanusiaan, atau menghina, berbanding hukuman sebatan sivil yang anehnya tidak pernah dibantah oleh Majlis Peguam,” tambahnya dalam kenyataan hari ini.
Pada 20 November lalu, seorang duda berusia 42 tahun, Mohd Affendi Awang, menjadi individu pertama di Terengganu menjalani hukuman enam sebatan di hadapan umum di sebuah masjid atas kesalahan khalwat berulang. Sebelumnya, beliau telah dikenakan empat sebatan tertutup dan denda RM3,000 oleh Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu pada Februari lalu.
Bagaimanapun, Presiden Majlis Peguam, Mohamad Ezri Abdul Wahab, menyifatkan hukuman sebat tersebut menjatuhkan maruah individu dan berpotensi melanggar Perkara 5 Perlembagaan Persekutuan. Beliau juga mendakwa bahawa hukuman sebat secara terbuka tidak diperuntukkan dalam Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 [Akta 355].
Sebaliknya, Wan Rohimi menegaskan bahawa pelaksanaan hukuman sebatan di khalayak umum adalah selaras dengan prinsip syariah yang bertujuan mendidik. Hukuman itu, menurutnya, memberikan kesan mendalam kepada pesalah melalui rasa malu yang timbul akibat pendedahan umum.
“Hukuman sebatan ini telah dijatuhkan mengikut peruntukan undang-undang yang sedia ada dan tidak melanggar mana-mana prinsip perundangan,” katanya.
Beliau turut mengingatkan Majlis Peguam Malaysia supaya berhati-hati ketika mengeluarkan kenyataan tanpa asas kukuh, dan menegaskan keperluan untuk menghormati sistem kehakiman syariah di Malaysia.
“Majlis Peguam harus memastikan kenyataannya tidak menunjukkan sikap berat sebelah atau prejudis. Jangan sampai rakyat melihat badan ini cenderung mengutamakan nilai Barat berbanding nilai tempatan dan agama,” tambahnya.
BACA: Ini jarak tempoh masa kesalahan khalwat punca lelaki jadi individu pertama disebat dikhalayak ramai