Panas !!! Nazri bela Ku Li, tubuh kerajaan PN bukan keputusan parti

Panas !!! Nazri bela Ku Li, tubuh kerajaan PN bukan keputusan parti

Tindakan Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah mengadakan sidang akhbar bersama bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad untuk menolak Belanjawan 2021 tidak mengelirukan ahli UMNO.

Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata, ia disebabkan penubuhan kerajaan pada hari ini adalah atas keputusan ahli Parlimen.

“Jadi ahli Parlimen bebas untuk membuat keputusan sendiri. Masa kita tubuhkan kerajaan dahulu, bukan parti yang membuat keputusan.

“Ahli Parlimen berkumpul beramai-ramai kemudian kita setuju dan maklumkan kepada Majlis Tertinggi,” katanya kepada Sinar Harian hari ini.

Sebelum ini, Tengku Razaleigh atau dikenali sebagai Ku Li pada sidang akhbar bersama Dr Mahathir menyatakan beliau mampu menarik sokongan ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) untuk menumbangkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) dalam undian Belanjawan 2021 yang dibentangkan untuk bacaan kali ketiga di Dewan Rakyat.

Ketua Penerangan UMNO, Shahril Sufian Hamdan kemudiannya membidas tindakan Ku Li kerana ia boleh menyebabkan ahli parti itu keliru dengan pendirian UMNO.

Mengulas lanjut, Mohamed Nazri berkata, parti itu tidak perlu mengambil tindakan disiplin terhadap Ku Li seperti melucutkan keahliannya kerana jumlah ahli Parlimen UMNO kini kecil.

“Kalau jumlah kita besar bolehlah kita nak buang orang dan ini bukan era buang orang. Melainkan masa kempen pilihan raya dia berkempen lawan kita, itu lain,” tegasnya.

Mohamed Nazri dalam masa yang sama turut menyatakan bahawa pihak pembangkang tidak akan membuat undi percaya selepas ini setelah mereka gagal untuk menjatuhkan kerajaan PN.

“Setakat ini saya tak nampak. Sebabnya kalau dibuat undi tidak percaya, mereka kena buat keputusan (memilih calon perdana menteri) terlebih dahulu dalam kalangan mereka.

“Kalau mereka berjaya, siapa yang akan menjadi calon perdana menteri? Hari ini saya tengok, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal (Ahli Parlimen Semporna) juga ditonjol sebagai perdana menteri, Dr Mahathir juga nak. Di kalangan mereka tidak ada kata sepakat,” katanya.

Menurut Mohamed Nazri, kerajaan hari ini masih lagi boleh berfungsi dan mempunyai majoriti kerana dalam sesi pengundian di Dewan Rakyat mereka tidak pernah kalah kepada pembangkang.

“Kalau dalam satu-satu pengundian itu kalah mungkin berbangkit isu bahawa kerajaan ini hilang majoriti. Ini tak ada. 28 kali kita mengundi dan kita menang.

“Dan sekarang ini pun, ada 220 ahli Parlimen, kita sentiasa mengalahkan mereka. Apa kita nak takut? Pada saya, soal majoriti ini tidak kira satu majoriti, dua majoriti. Kita telah menang 28 kali mengundi bermakna kerajaan ini adalah kerajaan yang ada majoriti,” tegasnya.

Berita penuh :https://www.sinarharian.com.my/article/115100/BERITA/Politik/Ku-Li-tidak-kelirukan-ahli-UMNO-Nazri

COMMENTS