Panas !!! Najib cabar Zafrul namakan negara yang gantung parlimen kerana Covid-19

Panas !!! Najib cabar Zafrul namakan negara yang gantung parlimen kerana Covid-19

BEKAS Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mencabar Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Mohd Zafrul Tengku Abdul Aziz untuk menamakan satu negara yang menggantung Parlimen atas alasan COVID-19.

Dalam catatan terbaharu di Facebooknya, Ahli Parlimen Pekan itu berkata jika benar penggantungan Parlimen dapat mengukuhkan ekonomi, seperti didakwa Tengku Zafrul, amat rugi jika negara lain tidak mengikuti langkah Malaysia.

Beliau berkata hujah Menteri Kewangan yang menyamakan langkah Malaysia dengan 80 negara lain tidak tepat.

“Darurat bagi negara-negara lain bermaksud kuasa diberi kepada kerajaan untuk lakukan lockdown sebab mereka tidak ada akta-akta seperti kita yang boleh lockdown tanpa darurat.

“Parlimen mereka tak pernah gantung. Hanya Malaysia satu-satunya negara dalam dunia gunakan alasan COVID untuk gantung Parlimen.

“Senang sahaja, Tengku Zafrul. Namakan satu negara lain dalam dunia yang gantung Parlimen (bukan tunda sesi Parlimen) selama tujuh bulan,” cabar bekas Presiden UMNO itu lagi.

Tengku Zafrul pada 19 Januari mendakwa Malaysia merupakan antara 80 negara di dunia, atau hampir setengah daripada seluruh dunia, yang mengisytiharkan darurat bagi menangani pandemik COVID-19.

“Seperti yang saya katakan, kesihatan awam adalah kunci untuk pemulihan ekonomi. Saya ingin jelaskan apa-apa keputusan dalam tempoh ini perlu mendapat persetujuan Yang di-Pertuan Agong atau orang yang dilantik Seri Paduka Baginda,” katanya lagi.

Tengku Mohd Zafrul berkata demikian dalam satu taklimat khas mengenai Pakej Bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (Permai) bernilai RM15 bilion yang diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Isnin.-AA