Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing, turut hadir menemani Baby Shima buat laporan polis jam 2 pagi.
Penyanyi terkenal, Baby Shima, baru-baru ini terpaksa membuat laporan polis selepas menerima ugutan bunuh melalui media sosial.
Kejadian tersebut berlaku apabila seorang pengguna Facebook yang dipercayai berasal dari Sarawak menulis komen mengancam keselamatan Baby Shima,
Dengan memberi amaran agar penyanyi itu berhati-hati jika tidak mahu pulang sebagai mayat.
Berdasarkan hantaran Baby Shima di Instagram, dia berkongsi tangkap layar komen tersebut sebagai bukti ancaman yang diterimanya.
Dengan rasa terkejut dan bimbang, Baby Shima mengambil langkah untuk melaporkan kejadian itu di Balai Polis Sibu pada jam 2 pagi, semalam.
Lebih mengejutkan lagi, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing, turut hadir menemani Baby Shima dalam laporan polis tersebut.
“Terima kasih kepada Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing, yang sudi datang ke Balai Polis Sibu pada jam 2 pagi. Tak sangka beliau begitu prihatin. Terima kasih banyak, YB,” tulis Baby Shima di Instagram.
Baby Shima mengakui bahawa ini adalah kali pertama dia menerima ancaman sebegitu serius dan sangat terkejut dengan komen yang ditinggalkan oleh individu tersebut.
“Saya rasa seolah-olah dia mahu mengancam keselamatan saya, sebab itulah saya mengambil langkah untuk membuat laporan polis,” katanya.
Setakat ini, pihak polis masih menjalankan siasatan untuk mengesan individu yang menulis komen berkenaan.
Baby Shima juga memberitahu bahawa berdasarkan maklumat awal, individu tersebut dipercayai berasal dari Sarawak.
“Polis akan memastikan keselamatan saya terjaga sepanjang saya berada di sini,” katanya, sambil berpesan kepada peminatnya agar sentiasa berhati-hati.
Malam ini, Baby Shima dijadualkan untuk menghiburkan orang ramai di acara ‘MOTAC Bersama Komuniti Sibu’ sempena sambutan ambang Tahun Baharu yang berlangsung di Kompleks Sukan Komuniti Azman Hashim, Sibu Jaya.
BACA: Terkini!! CEO Harimau Malaya telah dilantik, ini latar belakang Rob Friend