Panas !!! Kes muflis dijangka naik 6%, moratorium selamatkan rakyat dari muflis

Panas !!! Kes muflis dijangka naik 6%, moratorium selamatkan rakyat dari muflis

Pakar kewangan pengguna dan ahli akademik meluahkan kebimbangan mengenai peningkatan besar-besaran jumlah individu muflis menjelang tamatnya tempoh moratorium pada 30 September ini.

Walaupun setakat ini statistik Jabatan Insolvensi mendapati jumlah individu diisytiharkan bankrap sehingga Mei tahun ini sekitar 2,591 kes, namun angka tersebut dikhuatiri akan bertambah berkali ganda memandangkan bank-bank belum mengemaskini data terbaru sehingga berakhirnya moratorium.

Malah, lebih menakutkan menurut Sistem Insurans Pekerjaan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), pandemik Covid-19 menyebabkan kehilangan pekerjaan di negara ini meningkat sebanyak 42 peratus untuk suku pertama tahun ini.

Menurut Bendahari Kehormat Persatuan Ekonomi Keluarga dan Pengguna Malaysia (MACFEA), Profesor Madya Dr Husniyah Abd [email protected] Wahab, pada tahun ini, Jabatan Perangkaan Malaysia menjangkakan kadar pengangguran akan mencecah sehingga 5.5 peratus akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi mengekang penularan Covid-19.

“Berdasarkan model empirikal luar negara dalam menentukan pengaruh kadar pengangguran terhadap kadar muflis, kadar muflis akan meningkat dengan kadar 1.9 hingga 2.8 peratus bergantung kepada bilangan hari tertunggak pinjaman dan faktor lain antaranya kadar faedah, had kredit dan kadar perceraian.

“Dengan peningkatan kadar pengangguran sebanyak 2.3 peratus bagi tahun ini berbanding 3.2 peratus setakat Disember 2019 di Malaysia, maka kadar muflis pasca PKP dijangka meningkat dalam julat empat hingga enam peratus.

“Peningkatan kadar muflis itu mungkin tidak dapat dilihat pada tahun ini disebabkan moratorium yang akan berakhir pada 30 September,” katanya dalam temu bual eksklusif Sinar Harian di sini semalam.

Katanya, walaupun setakat Mei lalu jumlah kes bankrap yang dikeluarkan Jabatan Insolvensi hanya 2,591 berbanding 12,051 untuk keseluruhan pada tahun 2019, namun angka tersebut sebenarnya terhenti selepas pelaksanaan PKP dan moratorium.

“Pada tahun lepas iaitu 2019, dapat dilihat kes muflis berlaku dalam kadar sebulan 1,000 orang. Sekiranya muflis berlaku dengan kadar yang sama, bilangan kes muflis sepatutnya mencecah 5,000 orang sehingga Mei 2020 tetapi hanya seramai 2,591 dilaporkan muflis.

“Walaupun bilangan ini agak kecil berbanding jangkaan, ia tidak semestinya menunjukkan kadar muflis menurun memandangkan PKP bermula 18 Mac 2020 yang telah mengehadkan pergerakan rakyat Malaysia,” kata pensyarah Universiti Putra Malaysia (UPM) itu.

Tambah Husniyah, statistik pada tahun 2020 mungkin tidak dapat menunjukkan kadar sebenar muflis yang berlaku kerana peningkatan jumlah orang bankrap di Malaysia dijangka akan lebih ketara menjelang tahun 2021.

“Walaupun beberapa inisiatif diperkenalkan kerajaan termasuk penangguhan automatik bayaran pinjaman individu serta industri kecil dan sederhana, namun individu yang hilang pekerjaan dan tidak berupaya untuk memperoleh pekerjaan baharu mahupun menjana pendapatan, dijangka terjejas rating kredit dan seterusnya berhadapan dengan tindakan untuk difailkan muflis.

“Sebagaimana yang didapati dalam kalangan peserta Program Pengurusan Kredit oleh Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) yang mengalami keberhutangan yang tinggi sehingga 2017, kehilangan pekerjaan atau bil perubatan yang tinggi (18 peratus) dan perniagaan yang gagal atau perlahan (18 peratus) merupakan sebab kedua tertinggi,” jelas beliau.

Untuk rekod, sejak 6 Oktober 2017, undang-undang muflis di Malaysia telah mengalami perubahan iaitu individu boleh diisytiharkan muflis jika mempunyai hutang sebanyak RM50,000 atau lebih yang mana had itu telah dinaikkan daripada RM30,000.

Sementara itu, pakar kewangan pengguna, Profesor Dr Mohamad Fazli Sabri berkata, terdapat dua jangkaan berhubung isu peningkatan individu muflis selepas moratorium.

“Pertama, peningkatan kes muflis akan berlaku sekiranya individu yang terjejas pendapatan atau kehilangan pekerjaan tidak mengambil langkah proaktif untuk menguruskan hutang-hutang mereka.

“Kedua, ia tidak akan meningkat disebabkan adanya tempoh moratorium di mana individu boleh berbincang dengan pihak bank berhubung pembayaran balik pinjaman masing-masing,” katanya.

Kata Mohamad Fazli, menurut Jabatan Insolvensi, antara sebab utama yang menyumbang kepada kes kebankrapan adalah pinjaman peribadi, pinjaman perniagaan, sewa beli kenderaan, pinjaman perumahan dan hutang kad kredit.

“Justeru, rakyat Malaysia harus mengambil tindakan proaktif bagi menguruskan segala pinjaman kerana jika tidak mereka akan terjerumus dalam perangkap hutang tertunggak sekaligus menjadi muflis,” katanya yang merupakan Timbalan Dekan (Pengajian Siswazah & Jaringan Industri dan Masyarakat) Fakulti Ekologi Manusia UPM.

Berita penuh : https://www.sinarharian.com.my/article/92968/LAPORAN-KHAS/Kes-muflis-dijangka-naik-enam-peratus

COMMENTS