Pakar ramal Ringgit capai RM4 sedolar AS dalam masa terdekat

Oleh INFORAKYAT

Pakar ramal Ringgit capai RM4 sedolar AS dalam masa terdekat. Ringgit berpotensi menguji paras RM4.00 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) selepas mata wang tempatan itu semakin menjadi pilihan pelabur berikutan langkah Rizab Persekutuan (Fed) AS memperlahankan kenaikan kadar faedahnya.

Pengarah dan Ketua MIDF Research, Imran Yassin Md Yusof, berkata sebagaimana mata wang lain, ringgit mula kukuh selepas Fed memperlahankan kadar kenaikan pinjaman dengan pasaran sudah memanfaatkan persekitaran itu sejak Disember lalu.

“Dalam tempoh sederhana, kami tidak menolak kemungkinan ia mencecah RM4 berbanding dolar AS, tetapi bergantung kepada beberapa faktor seperti keadaan ekonomi Malaysia, kadar pinjaman, harga komoditi dan sebagainya. Unjuran akhir tahun kami adalah RM4.23.

“Kami melihat bukan sahaja ringgit, tetapi mata wang lain juga mungkin menjadi pilihan pelabur disebabkan ‘pivot’ daripada Fed. Apa yang dimaksudkan oleh ‘pivot’ ialah pengurangan kadar faedah dan seterusnya berhenti menaikkan kadar pinjaman,” katanya kepada BH.

Pakar ramal Ringgit capai RM4 sedolar AS dalam masa terdekat
Mengulas lanjut, Imran Yassin berkata, kenaikan ringgit berbanding dolar AS sejak November tahun lalu sudah dijangkakan firma penyelidikan.

Katanya, laporan MIDF Research pada Ogos lalu berpendapat ringgit berada di bawah nilai, jika dilihat dari segi asas ekonomi negara dan kaitannya dengan harga minyak mentah.

“Ringgit pada kebiasaannya akan bergerak bersama harga Brent di mana ia kukuh apabila harga minyak mentah ini meningkat.

“Namun, tindakan Fed yang menaikkan kadar faedah lebih agresif menyaksikan pengukuhan dolar AS berbanding mata wang utama lain termasuk ringgit tahun lalu.

“Seperti yang kami jangkakan, ringgit serta mata wang lain akan mula kukuh selepas Fed memperlahankan kenaikan kadar faedah. Buat masa ini, kami dan pasaran menjangkakan Fed akan memperlahankan lagi kenaikan kadar faedah bulan depan kepada 25 mata asas.

“Jangkaan ini antara faktor pengukuhan ringgit berbanding dolar AS dan menjadi trend global apabila dolar AS menunjukkan kelemahan berbanding mata wang lain kebelakangan ini,” katanya.

MIDF Research berpandangan pengukuhan nilai ringgit lebih didorong oleh jangkaan bahawa Fed yang tidak lagi perlu untuk menaikkan kadar faedahnya secara agresif.

Ia disebabkan data inflasi terkini menunjukkan tekanan harga di AS mula menurun dan lebih perlahan dalam tempoh beberapa bulan lalu, sekali gus menjelaskan punca ringgit terus mengukuh walaupun Bank Negara Malaysia (BNM) tidak membuat sebarang perubahan bagi dasar monetarinya.

Penganalisis Ekonomi UniKL Business School, Profesor Madya Dr Aimi Zulhazmi Abdul Rashid turut berpendapat ringgit berada pada paras baik untuk terus mengukuh berbanding dolar AS berikutan langkah Fed yang kurang agresif menaikkan kadar faedah.

“Kenaikan kadar faedah oleh Fed kini tidak terlalu mempengaruhi situasi seperti tahun lalu dan dijangka kenaikan 2023 lebih kecil memandangkan ia sudah berada pada paras yang tinggi.

“Selain itu, jangkaan kemelesetan ekonomi global mengurangkan permintaan kepada komoditi utama dunia seperti minyak mentah yang menunjukkan trend penurunan dengan harga pasaran hadapan mendatar,” katanya.

Sementara itu, Rakan Kongsi Pengurusan SPI Asset Management, Stephen Innes, berkata pengeksport Malaysia menjadi antara penyumbang terbesar kecairan dolar AS sejak 2021 dan penjualan besar-besaran melonjakkan lagi ringgit.

“Menjangkaui langkah pembukaan semula China, kami menggemari ringgit memandangkan premium risiko politik mereda sejak 2018,” katanya.

Ringgit semakin mengukuh pada minggu lalu apabila diniagakan pada paras RM4.28 berbanding dolar AS.

Mata wang tempatan turut diniagakan lebih tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama.

BACA:

Ini sejarah pulau terpencil di Australia yang didiami sepenuhnya oleh orang melayu

“Ingatkan ais rupanya serpihan kaca” – Ibu terkejut jumpa dalam air dibeli anaknya di luar sekolah