Pakar ini dakwa Upin Ipin sebar propaganda Malaysia

Oleh AHMAD SULAIMAN

Siri animasi popular, Upin & Ipin, sering kali dianggap sebagai salah satu medium yang berkesan dalam menyebarkan propaganda budaya dan kehidupan seharian masyarakat Malaysia.

Namun, siri ini juga menimbulkan kontroversi di kalangan masyarakat Indonesia kerana terdapat unsur budaya yang bersilang antara kedua-dua negara.

Pensyarah Hubungan Antarabangsa FISIP, Universiti Padjadjaran, Dudy Heryadi, mengulas mengenai isu ini kepada CNN Indonesia, lapor Vocket.

Menurut Dudy Heryadi, Upin & Ipin amat digemari oleh kanak-kanak di Indonesia.

Loghat Melayu yang tebal serta jalan cerita yang ringan dan sederhana menjadikan siri ini mudah difahami dan dihubungkaitkan oleh masyarakat di kedua-dua negara.

Pakar ini dakwa Upin Ipin sebar propaganda Malaysia

Dalam konteks hubungan antarabangsa, Dudy menyatakan bahawa siri ini sesuai digunakan sebagai instrumen diplomasi budaya oleh Malaysia untuk mempererat hubungan antara Malaysia dan Indonesia.

Selain mempererat hubungan kedua-dua negara, Dudy turut berpendapat bahawa siri ini digunakan Malaysia untuk menyebarkan tuntutan budaya yang rata-rata bersilang dengan Indonesia.

Contoh budaya yang sering dipaparkan dalam Upin & Ipin termasuklah lagu Rasa Sayange, keris, dan wayang kulit.

Dudy menegaskan, “Jika dilihat dalam konteks hubungan antarabangsa, sangat sesuai digunakan sebagai instrumen diplomasi budaya oleh Malaysia untuk lebih mempererat hubungan antara kedua negara.

“Namun, kita (Indonesia) tidak boleh marah-marah begitu sahaja kerana merasakan budaya kita diiktiraf orang lain. Kerajaan perlu bijak menyahut propaganda yang dilakukan oleh Malaysia.”

Hubungan antara Malaysia dan Indonesia sering diwarnai dengan sengketa budaya.

Pada tahun 2007, Malaysia menggunakan lagu Rasa Sayange dari Maluku untuk mempromosikan pelancongan negara, menimbulkan kemarahan rakyat Indonesia.

Lagu ini juga pernah digunakan sebagai pembukaan Sukan Sea Malaysia 2017.

Selain itu, Tarian Pendet dari Bali turut diperdebatkan pada tahun 2009 apabila muncul dalam iklan ‘Enigmatic Malaysia’ di saluran televisyen Discovery.

Kementerian Pelancongan Indonesia mengemukakan bantahan rasmi, yang segera disambut dengan permohonan maaf oleh Kerajaan Malaysia.

Perkara lain yang turut dipertikaikan termasuklah pakaian batik, alat muzik angklung, wayang kulit, dan gamelan.

Walaupun terdapat pertikaian budaya, Dudy juga melihat Upin & Ipin mempunyai nilai positif dalam mengeratkan rasa persaudaraan antara masyarakat Indonesia dan Malaysia.

Siri ini dapat menjadi jambatan yang menghubungkan kedua-dua negara melalui budaya yang dikongsi bersama.

BACA: Hati-hati kutip duit syiling tepi jalan, ini yang bakal berlaku dalam rutin harian anda