Keputusan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, untuk tidak mengambil gaji adalah selaras dengan ajaran Islam, baik dari segi niat mahupun pelaksanaannya.
Pengarah Jabatan Pemahaman dan Pemantapan Agama Keadilan (JPPA) PKR, Amidi Abdul Manan, berkata
sekiranya ada pihak yang mempertikaikan keikhlasan niat Anwar, mereka seolah-olah bertindak
seperti Tuhan yang lebih mengetahui berbanding malaikat dan nabi mengenai isi hati manusia.
Amidi menjelaskan bahawa Perdana Menteri telah menyatakan tindakannya tidak mengambil gaji adalah berikutan keadaan ekonomi negara yang tidak sihat dan bebanan hutang yang tinggi.
“Secara tersiratnya, PMX (Perdana Menteri ke-10) percaya masih banyak wang negara yang boleh dijimatkan untuk memberi manfaat yang lebih baik kepada rakyat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang, yang semalam seolah-olah menyindir Perdana Menteri dengan menyatakan bahawa Anwar ingin dilihat lebih baik daripada Nabi Muhammad SAW.
“Abdul Hadi mengkritik tindakan Perdana Menteri yang tidak mengambil gaji. Katanya, tindakan itu tidak wajar kerana tidak selari dengan amalan Rasulullah SAW. Beliau menggunakan istilah lebih daripada Rasulullah SAW.
“Jika itu yang dimaksudkan, ia membawa maksud tindakan Perdana Menteri tidak mengambil gaji adalah tidak selari dengan ajaran Islam,” kata Amidi.
Beliau turut menjelaskan bahawa para ulama berpendapat bahawa adalah harus jika seorang pekerja (ajir) tidak mengambil upah untuk tujuan tertentu daripada majikan (musta’jir).
“Perbuatan tidak mengambil upah juga boleh dianggap sebagai sedekah, asalkan memenuhi syarat-syarat tertentu, sama ada sedekah kepada pihak lain ataupun kepada majikannya,” jelasnya.