Pahala baca Al-Quran guna telefon tak sama dengan mushaf ?

Oleh AHMAD SULAIMAN

Teknologi masa kini telah mempermudah pelbagai urusan harian, termasuk amalan membaca al-Quran.

Kini, bacaan al-Quran boleh dilakukan secara digital melalui aplikasi telefon pintar, membolehkan pengumpulan pahala di mana sahaja.

Namun, timbul persoalan: adakah pahala yang diraih melalui bacaan digital ini sama dengan membaca al-Quran secara fizikal menggunakan mushaf?

Menurut pihak pengurusan Masjid Bandar Seri Putra, Bangi, jika anda berada di tempat

seperti surau yang menyediakan kedua-dua pilihan, adalah lebih afdal membaca al-Quran menerusi mushaf.

Pahala baca al-Quran guna telefon tak sama dengan mushaf

“Pahalanya sama sahaja,” kata mereka. “Namun, yang penting adalah kekhusyukan ketika membaca.

Membaca melalui telefon pintar lebih mudah terganggu dengan notifikasi mesej, panggilan telefon, atau iklan, yang boleh mengganggu penghayatan dan fokus kita.

Oleh itu, membaca al-Quran, sama ada secara digital atau fizikal, perlulah dilakukan dengan penuh penghayatan.”

Penceramah bebas, Ustaz Azhar Idrus (UAI), turut menjelaskan perkara ini dalam salah satu kuliahnya.

“Dari segi pahala, membaca al-Quran pada mushaf dan telefon pintar adalah sama,” katanya. Beliau turut mengingatkan bahawa Mufti Mesir, Dr. Shawki Allam, menjelaskan melihat ayat al-Quran, sama ada pada mushaf atau skrin, sudah mendatangkan pahala. Membacanya, sama ada secara fizikal atau digital, juga memberi pahala.

Namun, menurut UAI, terdapat kelebihan tertentu pada mushaf. “Ketika membaca mushaf, kita akan membelek dan menyelak halaman, dan tindakan ini juga dianggap ibadah yang diberi pahala.

Ini tidak terdapat pada telefon pintar kerana kita hanya menatal skrin sahaja. Lebih banyak interaksi fizikal dengan al-Quran, lebih banyak pahala yang boleh diraih,” jelasnya.

Meskipun begitu, kaedah apa pun yang dipilih, yang utama adalah kekhusyukan dan niat untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT.

BACA: Cikgu ‘pucuk muda’ jatuh hati dengan anak Felda