Padah kerap risau tak tentu hala, anda mungkin penghidap sakit mental ini

Oleh INFORAKYAT

Perasaan risau adalah sesuatu yang normal bagi setiap individu yang menghadapi tekanan.

Tidak kira apa pun pendorongnya, perasaan ini adalah sebahagian daripada kehidupan kita.

Namun, jika perasaan risau itu berpanjangan, mungkin ada sesuatu yang tidak kena dengan diri anda.

Kebiasaannya, perasaan risau adalah bersifat sementara dan berlaku akibat pendorong tertentu, seperti menunggu keputusan peperiksaan atau berucap di hadapan orang ramai

Namun, jika anda mengalami perasaan risau yang berpanjangan, ia mungkin berkait dengan keadaan mental anda.

Padah kerap risau tak tentu hala, anda mungkin penghidap sakit mental ini

Jika anda berasa risau berpanjangan atau berlebihan sehingga menjejaskan produktiviti harian, anda mungkin mengalami kecelaruan keresahan menyeluruh, yang lebih dikenali sebagai “Generalised Anxiety Disorder (GAD).”

Menurut satu kajian yang dijalankan di Malaysia pada tahun 2011, wanita muda berusia antara 16 hingga 24 tahun mempunyai kadar yang tinggi untuk mengalami GAD.

Terdapat beberapa kriteria untuk penghidap GAD berdasarkan Diagnostic and Statistical Manual Of Mental Disorders Fifth Edition oleh American Psychiatric Association. Antara kriteria tersebut adalah:

1. Simptom yang berlaku dapat menjejaskan fungsi harian seseorang.
2. Sukar untuk mengawal kerisauan tersebut.
3. Simptom keresahan berlangsung pada kebanyakan hari selama sekurang-kurangnya enam bulan dan melibatkan pelbagai perkara atau aktiviti.
4. Simptom yang dialami bukan disebabkan oleh sebarang penyakit fizikal atau pengambilan dadah.
5. Simptom yang dialami tidak boleh dijelaskan oleh penyakit mental yang lain.

Penghidap GAD biasanya mempunyai sekurang-kurangnya tiga daripada simptom berikut:

-Cepat berasa marah
-Perasaan resah atau sukar bertenang
-Ketegangan otot
-Sukar menumpukan perhatian
G-angguan tidur (seperti sukar tidur atau tidur yang sering terganggu)
-Keletihan

Penyakit mental ini mempunyai beberapa faktor yang menyumbang kepada seseorang menjadi penghidap GAD, antaranya:

Genetik atau keturunan

Individu yang mempunyai ahli keluarga yang juga merupakan penghidap kecelaruan keresahan mempunyai risiko yang lebih tinggi untuk didiagnosis dengan penyakit ini.

Pengambilan alkohol, kafein, atau dadah

Pengambilan bahan-bahan ini boleh menyebabkan seseorang berasa resah berpanjangan.

Sejarah hidup yang negatif

Individu yang pernah mengalami pengalaman buruk seperti penderaan fizikal atau mental mungkin berisiko menghidap penyakit ini. Kematian ibu bapa sewaktu kecil juga boleh menjadi pendorong.

Ketidakseimbangan bahan kimia (neurotransmitter) dalam otak

Bahan kimia utama yang sering dikaitkan adalah serotonin dan norepinephrine.

Tekanan hidup

Masalah seperti kewangan, pekerjaan, atau isu keluarga boleh menjadi pendorong bagi seseorang mengalami penyakit ini.

Personaliti diri

Seseorang yang terlalu menginginkan kesempurnaan dan sensitif terhadap segala hal mungkin lebih cenderung menghidap penyakit mental ini.

Jangan abaikan perasaan risau yang anda simpan dalam diri. Jika anda mengalami simptom di atas, adalah penting untuk berjumpa dengan doktor agar dapat didiagnosis dan dirawat sesuai dengan prosedur yang ditetapkan oleh pakar perubatan.

BACA: Lepas potong akaun air, kerajaan Kelantan lantik ‘ah long’ berlesen kutip hutang