Kerajaan negeri akan mengambil tindakan mahkamah bagi menuntut bayaran caj air mentah sekiranya Pulau Pinang terus berdegil tidak mahu mengadakan rundingan.
Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor, berkata tindakan itu adalah jalan terakhir yang akan dilakukan, namun pihaknya masih berharap Pulau Pinang bersedia mengadakan rundingan bagi membincangkan isu tuntutan berkenaan.
“Buat masa ini, kita pilih cara berunding dulu, kerajaan Kedah dengan kerajaan Pulau Pinang, kita sama-sama dalam Malaysia, nak keras tara (setakat) mana sangat.
“Tetapi, sekiranya menemui jalan buntu, isu ini boleh dibawa ke mahkamah dan itu adalah jalan terakhir yang akan diambil oleh kerajaan negeri,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis pecah tanah Kompleks PAS Jerlun di Kampung Lana Bulu, Ayer Hitam di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas sama ada kerajaan negeri akan membawa isu tuntutan caj air mentah ke mahkamah sekiranya Pulau Pinang masih tidak mahu berunding mengenainya.
Mengulas lanjut, Muhammad Sanusi, berkata kerajaan Pulau Pinang seharusnya tidak terus berkeras untuk berunding kerana Pulau Pinang juga sebahagian daripada Kedah satu ketika dahulu.
“Dulu kalau Pulau Pinang dalam Kedah, bangunan Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar) di Georgetown itu hanya Pegawai Daerah (DO) saja yang duduk, tak ada Ketua Menteri Pulau Pinang, Timbalan Ketua Menteri I, Timbalan Ketua Menteri II,” katanya.
Semalam, Muhammad Sanusi berkata kerajaan negeri Kedah masih membuka pintu rundingan kepada Pulau Pinang berhubung isu pembayaran caj air mentah sebelum meminta campur tangan daripada kerajaan Persekutuan.
Terdahulu, Timbalan Ketua Menteri II, Dr P Ramasamy dalam kenyataannya semalam, berkata kerajaan Pulau Pinang tetap dengan pendirian tidak akan membayar walau satu sen kepada Kedah untuk mengambil air dari Sungai Muda.
Ramasamy dipetik berkata, tidak ada tanda Pulau Pinang akan memberi sumbangan dan tidak akan ada rundingan atau perbincangan dengan Kedah jika hak air Pulau Pinang tidak dihormati.
Kerajaan Kedah sebelum ini menuntut Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) menjelaskan bayaran sumber air mentah sebanyak RM50 juta setahun sejak 2010 namun tiada sebarang maklum balas dibuat oleh perbadanan itu.
Berita penuh : https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2020/12/768864/tindakan-mahkamah-jalan-terakhir-tuntut-caj-air-mentah