P. Pinang catat sifar kes baru Covid-19 empat hari berturut-turut

P. Pinang catat sifar kes baru Covid-19 empat hari berturut-turut

Pulau Pinang bakal diisytihar sebagai zon hijau atau sifar kes Covid-19 sekiranya tiada pertambahan kes di semua daerah dalam tempoh 14 hari.

Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow berkata, setakat ini, negeri itu mencatatkan hari ke-4 sifar kes Covid-19.

“Saya dimaklumkan oleh pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang pagi ini berdasarkan pemantauan pelaporan kes Covid-19 untuk tempoh 14 hari bagi negeri Pulau Pinang.

“Sekiranya tiada pertambahan kes, semua daerah di Pulau Pinang akan menjadi zon hijau pada 27 April 2020,” katanya dalam sidang media yang disiarkan secara langsung menerusi laman Facebook peribadi beliau hari ini.

Di peringkat daerah, beliau berkata, jika tiada pertambahan kes, Daerah Seberang Perai Selatan akan menjadi daerah pertama mencapai status zon hijau pada 21 April 2020.

Bagaimanapun, Chow mengingatkan semua pihak agar terus mematuhi perintah kawalan pergerakan (PKP) sehingga keadaan betul-betul selamat.

“Walaupun negara kita secara amnya masih mempunyai kes-kes baru setiap hari, namun kenaikan sudah berada di bawah paras 100 kes setiap hari berbanding sebulan lalu.

“Kita jangan rileks dulu. Teruskan usaha untuk mematuhi PKP sehingga kita betul-betul sudah selamat. Duduk di rumah, kurangkan pergerakan luar,” katanya.

Dalamk pada itu itu, Chow berkata, Pulau Pinang mampu menyediakan peluang pekerjaan kepada rakyat di negeri itu kerana sektor pembuatannya merekodkan pelaburan langsung asing (FDI) sebanyak RM13.3 bilion dalam bentuk pelaburan diluluskan.

“Pelaksanaan pelaburan ini sudah pun bermula dan InvestPenang (iP) menjangkakan kita akan mewujudkan kira-kira 13,000 peluang pekerjaan baru hasil pelaksanaan pelaburan ini,” katanya.