Orang mati perlu keluar belanja RM5,000 di Malaysia. Umat Islam yang tidak menyertai khairat kematian perlu menyediakan antara RM2,000 hingga RM5,000 sebagai kos untuk menyempurnakan majlis pengebumian mereka yang semakin meningkat ketika ini.
Wang itu termasuk digunakan bagi perbelanjaan majlis tahlil tiga malam berturut-turut, tempahan makanan dan pembelian batu nisan.
Selain itu, kos berkenaan juga bagi menampung van jenazah, kelengkapan kapan dan lain-lain.
Seorang wakil pengurusan jenazah di sini, Syafiq Hassan, 45, berkata, masih ramai orang muda belum menyedari kepentingan khairat kematian yang dilaksanakan di kariah masing-masing.
Katanya, pakej pengurusan jenazah termasuk mandi, kafan, pengebumian dan bacaan tahlil di pusara di kawasannya menelan kos minimum RM890 seorang.
“Ia bagaimanapun bergantung kepada kariah masing-masing. Jika di kawasan bandar, ada pihak pengurusan menetapkan lebih RM2,000.
Ia termasuk perkhidmatan van jenazah mengikut jarak perjalanan (luar daerah) sama ada dari hospital ke rumah atau terus ke tanah perkuburan,” katanya kepada Kosmo!.
Menurut Syafiq, ada beberapa kos tambahan seperti majlis tahlil dan tempahan batu nisan yang perlu ditanggung oleh waris si mati sekiranya mereka tidak menyertai khairat kematian.
Tambahnya, waris tidak perlu memikirkan kos itu jika si mati menyertai khairat kematian.
“Sesetengah ahli khairat kematian hanya perlu membayar RM20 setahun dan perlu dijelaskan setiap bulan atau seumur hidup bergantung kepada kawasan,” katanya.
Ujar Syafiq, kebanyakan mereka yang berusia 50 tahun ke bawah tidak mempunyai kesedaran mengenai kepentingan khairat kematian kerana antisosial.
Ketika ini katanya, harga barangan kelengkapan jenazah turut naik mendadak sejak akhir-akhir ini seperti kain putih, kapas dan papan keranda.
“Kapas sebelum ini RM5 kini RM7, kain putih daripada RM160 segulung kini RM180, papan keranda dahulu RM65 kini RM85 sekeping,” katanya yang masih mengekalkan RM890 sejak 10 tahun lalu untuk setiap jenazah.
Sementara itu, pembuat batu nisan dan kepok, Azhar Abdul Hamid, 49, pula memberitahu, dia terpaksa berdepan dengan kenaikan dua kali harga barangan mentah pada penghujung Disember tahun lalu dan April 2022.
“Kepok dan batu nisan sudah mencecah RM6,000 berbanding RM3,000 ketika ini kerana kenaikan bahan mentah. Alasan diberi ialah batu granit diimport dari China selain kejatuhan mata wang,” katanya.
Tambahnya, waris B40 biasanya membeli batu nisan biasa, manakala M40 pula menempah pada harga RM650 hingga RM2,000.
Harga kepok pula antara RM300 hingga RM1,800 manakala bagi bayi pula RM400. Semua orang akan terasa kenaikan ini dan rata-ratanya merungut tetapi apa boleh buat dan saya perlu jelaskan kepada mereka,” katanya.
Tambah Azhar, kerajaan perlu giat memantau isu berhubung kenaikan harga yang bukan sahaja melibatkan barangan keperluan harian seperti ayam, daging, minyak masak atau telur.
BACA:
Netizen sedih bapa hanya mampu bagi belanja anak universiti RM30 sebulan
Filem Mat Kilau arahan Syamsul Yusof telan belanja RM8 Juta, paling mahal setakat ini
Anya Geraldine ‘belanja’ body putih mulus dalam iklan mandi, peminat mula resah