‘Orang lain berhutang, kami pula tanggung malu’ Kes naya, Ah long salah simbah rumah

Oleh CHE HUSNA KAMARUZZAMAN

Akibat perbuatan khianat oleh ceti haram, sebuah keluarga di Ipoh, Perak terpaksa menanggung kerugian akibat tindakan orang lain yang berhutang.

Menurut laporan mStar, kejadian ini menimpa sebuah keluarga tujuh beranak apabila rumah mereka disimbah cat oleh Ah Long.

Kejadian tersebut berlaku pada pukul 2 pagi, Rabu, ketika Wan Zainab Wan Mamat, 37, dan suami yang keluar membeli makanan terkejut

apabila dimaklumkan oleh anak mereka bahawa rumah mereka telah didatangi sekumpulan lelaki yang menyimbah cat merah.

“Lima anak saya dalam ketakutan, bayangkan tiba-tiba orang datang simbah cat.

'Orang lain berhutang, kami pula tanggung malu' Kes naya, Ah long salah simbah rumah

Habis bahagian depan rumah termasuk kereta dan motosikal terkena cat,” katanya yang dihubungi mStar.

Menurut Wan Zainab, sebaik sahaja mereka pulang ke rumah, mereka mendapati sebuah nota yang menyatakan tuntutan pembayaran hutang. “Yang hutang tu lelaki Cina, yang kena simbah rumah kami,” tambahnya.

Wan Zainab kemudian cuba menghubungi nombor Ah Long tersebut untuk meminta penjelasan dan menuntut ganti rugi. “Saya tanya kenapa simbah rumah kami, dia kata mereka bertindak berdasarkan alamat yang diberikan,” katanya. Apabila dia meminta ganti rugi, Ah Long itu enggan membayar dan menyarankan agar dia menuntut ganti rugi daripada orang yang berhutang dengannya, sambil memaklumkan jumlah hutang sebanyak SGD3,000 (kira-kira RM9,900).

Wan Zainab yang tinggal di rumah itu sejak empat tahun lalu berkata, Ah Long tersebut memberikan alamat penghutang sebenar, yang terletak tidak jauh dari rumah mereka. “Kami pergi ke alamat itu, jaraknya hanya beberapa kilometer. Kami mendapati rumah ibu penghutang itu turut disimbah cat,” ujarnya, sambil menyatakan bahawa laporan polis telah dibuat berkenaan kejadian tersebut.

Susulan insiden itu, Wan Zainab mendedahkan keluarganya berasa malu kerana disangka masyarakat setempat telah berhutang dengan ceti haram.

“Orang lain hutang, kami pula yang terpaksa tanggung malu. Saya harap lelaki berkenaan bertanggungjawab dengan kejadian ini,” katanya.

Keluarganya kini merasa takut, dengan suaminya tidak dapat tidur sepanjang malam kerana khuatir rumah mereka akan diserang lagi.

BACA: Gara-gara usul usir Israel dari PBB, aplikasi waze Malaysia tiba-tiba tukar bahasa Hebrew