Nurul Izzah ambil keputusan buat kerja belakang tabir untuk parti

Nurul Izzah ambil keputusan buat kerja belakang tabir untuk parti

Lebih ramai pemimpin patut membuat kerja-kerja di belakang tabir, kata Ahli Parlimen Permatang Pauh Nurul Izzah Anwar.

Ditemui ketika menghadiri majlis penubuhan biro profesional muda Pemuda PKR (AMK), mantan naib presiden PKR itu berkata, itulah sebenarnya yang “lebih sihat” untuk parti.

Dia berkata demikian ketika ditanya apakah kemunculannya pada program itu menjadi tanda dia akan kembali aktif dalam dunia politik, setelah sebelum ini menyatakan enggan lagi membabitkan diri dengan politik.

“Sebenarnya saya memang sudah berada di belakang tabir membuat kerja.

“Saya rasa lebih ramai pemimpin patut buat kerja di belakang tabir.

“Saya rasa rasa itu lebih sihat kepada organisasi dan parti,” katanya.

Pada Disember 2018, Izzah mengundurkan diri sebagai naib presiden PKR, iaitu sebulan selepas dia terpilih menyandang jawatan tersebut itu apabila memperolehi undian terbanyak dalam pemilihan parti.

Pada Julai tahun lalu, dia berkata akan menjalankan tugasannya untuk mengukuhkan parti dan jentera tetapi enggan membabitkan diri dengan politik, mahupun terlibat dalam isu calon perdana menteri PH.

Bulan lalu, Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution berkata keputusan untuk Nurul Izzah kembali memainkan peranan aktif dalam kepimpinan politik arus perdana, adalah terpulang kepadanya sendiri.

Katanya, akar umbi PKR tidak sabar untuk melihat Nurul Izzah kembali aktif.

Sebelum ini, gara-gara perselisihan di dalam PH mengenai hala tujunya, timbul gesaan supaya pemimpin muda tampil ke hadapan memainkan peranan.

Seorang lagi bekas naib presiden PKR Rafizi Ramli turut berundur diri dari politik pada dua tahun lalu dan memberitahu bahawa dia lebih berminat menumpukan perhatiannya terhadap kemajuan teknologi dan membina peluang pekerjaan.

Berita penuh : https://www.malaysiakini.com/news/558358