Noraniza Idris, atau lebih mesra dikenali sebagai Kak Ani, 56, menganggap kecaman yang diterima sebagai satu lumrah yang perlu dihadapi oleh setiap selebriti.
Namun, beliau mengakui bahawa ada ketikanya komen pedas netizen berkaitan konsertnya yang berlangsung Oktober lalu mengguris hati.
“Saya baca segala komen netizen walaupun ia menyakitkan hati.
Kadangkala saya menangis dan merasa sedih kerana seolah-olah tidak dihargai,” katanya kepada mStar.
Menurut Noraniza, komen yang menyatakan konsertnya tidak gempak seperti artis lain amat memedihkan,
walaupun beliau telah menjelaskan bahawa konsert itu adalah sebahagian daripada program tanggungjawab sosial korporat (CSR).
Kenyataan tersebut dikongsikan ketika ditemui di majlis pengumuman Konsert Countdown MeleTOP 2025 yang berlangsung di Bukit Jalil, Kuala Lumpur, malam Selasa lalu.
Ambil Kritikan Secara Positif
Enggan membiarkan perkara itu mengganggu emosinya, Noraniza memilih untuk melihat kecaman sebagai sesuatu yang positif.
“Tidak semua orang mampu melakukan seperti saya yang memikul tiga tanggungjawab besar dalam konsert itu: sebagai pengarah projek, penyanyi utama, dan memperkenalkan produk Muruku.
“Walaupun dikritik, saya fikir mereka sebenarnya prihatin terhadap saya. Kalau orang sudah tidak ambil kisah, itu yang lebih membimbangkan. Jadi, biasa ada yang suka dan tidak,” ujarnya.
Noraniza turut menegaskan bahawa dia tidak terlalu mengambil hati terhadap kritikan kerana baginya, apa yang dilakukan tetap mempunyai nilai tersendiri.
Pertama Kali Adakan Konsert Sepanjang Kerjaya
Walaupun menerima pelbagai kecaman, Noraniza tetap menganggap konsert tersebut sebagai satu kejayaan besar dalam kerjayanya yang menjangkau hampir empat dekad.
“Saya anggap ini sebagai kejayaan kerana selama 39 tahun berkarya, ini adalah kali pertama saya mengadakan konsert.
“Jika suatu hari nanti saya tiada, sekurang-kurangnya tercatat dalam sejarah bahawa saya pernah menganjurkan konsert ini,” katanya dengan penuh rasa bangga.
Noraniza Idris membuktikan bahawa kecaman bukanlah penghalang untuk terus berkarya dan mengukir kejayaan dalam industri seni tanah air.
BACA: Tak makan sorang, Mawi ‘bedak-bedak’ bonus RM200,000, agih pada krew dan pelakon