Nombor plate ‘UG’ dibuka untuk bidaan. Siri nombor pendaftaran kenderaan ‘UG’ yang bermaksud ‘Universiti Guru’ akan dibuka untuk bidaan mulai 1 Julai ini.
Siri nombor pendaftaran itu telah dilancarkan Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tuanku Zara Salim pada 24 Mei lalu.
Naib Canselor UPSI, Profesor Datuk Dr Md Amin Md Taff berkata, inisiatif itu dilaksanakan bagi menyahut hasrat kerajaan untuk membantu penjanaan kewangan universiti.
Menurutnya, inisiatif itu dilaksanakan anak syarikat UPSI Holding Sdn Bhd. (UHSB), dengan kerjasama sebuah syarikat tempatan Aquatwo Sdn Bhd.
“Orang ramai boleh mula membida nombor plat kenderaan yang mereka minat dengan mengisi borang bidaan melalui pautan laman web www.ugplat.com.my yang dibuka bermula 1 hingga 12 Julai ini,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Beliau yang juga Ahli Lembaga Pengarah UHSB berkata, borang bidaan perlu dihantar terus ke pejabat UHSB di Aras 1, Bangunan Bitarasiswa, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah, Universiti Pendidikan Sultan Idris, 35900 Tanjong Malim.
Sementara itu, Pengurus Besar UHSB, Profesor Madya Dr Ramlee Ismail berkata, siri nombor pendaftaran kenderaan ‘UG’ merupakan hadiah istimewa kepada seluruh alumni institusi pendidikan berkenaan, sempena sambutan 100 tahun penubuhannya pada 22 November hadapan.
“Selain menjadi hadiah bermakna sempena sambutan bersejarah universiti, UHSB mengunjurkan pulangan pendapatan bernilai lebih RM3 juta,” katanya.
Terdahulu diadakan majlis menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) antara UHSB dan Aquatwo Sdn Bhd.
Turut hadir Pengerusi Lembaga Pengarah UHSB, Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan; Pengarah Urusan Aquatwo Sdn Bhd, Datuk Muhammad Muqarrabin Mokhtarudin; Timbalan Naib Canselor UPSI, Profesor Dr. Marzita Puteh; Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar UPSI, Profesor Madya Dr.Norkhalid Salimin; Bendahari UPSI, Mohamad Najib Mohamed dan Pengarah Bahagian Komunikasi Korporat UPSI, Profesor Madya Dr Mohd Izwan Shahril.
BACA:
Baby Shima ada anjing peliharaan?
‘Jangan ganggu rumahtangga orang’ – Abby Abadi, sekali netizen ungkit kisah lama