“Noktah!” – Tiada gabungan dengan PN, kata Rafizi

Noktah Tiada gabungan dengan PN kata Rafizi

“Noktah!” – Tiada gabungan dengan PN, kata Rafizi. Pakatan Harapan (PH) kekal dengan pendirian untuk tidak menjalinkan kerjasama dengan Perikanan Nasional (PN) bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) akan datang.

Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli, berkata perkara itu sudah diputuskan dalam mesyuarat terbaru PH pada Rabu lalu.

“Mesyuarat PH sudah buat keputusan noktah, maksudnya kita akan terus berkempen dan masuk pilihan raya sebagai PH.

“Kita sedia maklum sentimen rakyat, sebab sentimen rakyat bukan soal siapa berkuasa, rakyat nak satu pembawaan yang benar-benar berjuang untuk mereka,” katanya kepada pemberita selepas program Jelajah Trak Ayuh Malaysia di kawasan letak kereta Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, malam tadi.

Yang turut hadir, Naib Presiden PKR merangkap Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun dan Pengarah Strategi PKR, Akmal Nasrullah Mohd Nasir.

"Noktah!" - Tiada gabungan dengan PN, kata Rafizi

Pada Konvensyen PN di Serdang Sabtu lalu, Pengerusi PN Tan Sri Muhyiddin Yassin dilaporkan berkata, bahawa semua pimpinan parti pembangkang perlu mempertimbang membuka semula pintu rundingan dengan PN, jika masing-masing sepakat bahawa musuh utama dalam PRU-15 adalah BN.

Muhyiddin yang juga Presiden BERSATU menyarankan langkah itu bagi mengelakkan BN kembali berkuasa dan mengulangi amalan salah guna kuasa serta rasuah dalam pentadbiran negara.

Mengulas lanjut, Rafizi berkata, PKR sebagai tulang belakang PH daripada dulu sentiasa berpegang kepada prinsip dan pendirian dengan membabitkan semua kaum di negara ini.

Beliau yang juga bekas Ahli Parlimen Pandan berkata, tumpuannya adalah untuk mencari pemimpin yang jujur, cekap mentadbir dan bukannya soal perkauman.

“PN nak ajak bergabung dengan parti Melayu yang kononnya lebih baik dari BN atas alasan PH tidak cukup Melayu.

“Biarlah mereka (PN) kekal dengan tawaran itu, kami (PH) berpegang kepada prinsip sebelum ini bahawa kami perlu bergabung dengan semua kaum.

“Kita kena cari pemimpin yang jujur, cekap mentadbir dan bukannya soal kaum,” katanya.

Rafizi yang juga Pengarah Pilihan Raya PKR menegaskan bahawa alasan bekerjasama untuk menumbangkan BN akan mencetuskan kerajaan yang tidak akan stabil.

“Kami dah kena dulu malah rakyat juga sudah tahu bahawa kalau niat itu tidak betul maksudnya hanya menggunakan alasan untuk menumbangkaN BN tetapi dasar, jiwa itu tidak kena dan serasi, kerajaan itu tidak akan stabil,” katanya.

Beliau juga berkata, PKR sudah biasa sebagai pembangkang dan tidak akan menjadi isu andai kedudukan itu masih kekal selepas PRU-15 nanti.

Katanya, pihaknya sedar bahawa fungsi untuk memperbaiki keadaan dalam negara memerlukan masa, satu peringkat ke satu peringkat bukan semata-mata soal menjadi PerdanaMenteri dan menjadi kerajaan.

“Pemimpin yang muda macam kami orang kata tak ada seni berpolitik jadi kalau kami kata noktah, noktahlah.

“Kami tak pusing tapi pimpinan lain saya tak tahulah, mereka lebih lama, umur lebih senior. Jadi, saya tak tahu kalau mereka berbincang lagi, tetapi keputusan rasmi memang noktah, iaitu muktamad,” katanya.

Rafizi menegaskan bahawa pihaknya mahu pertahankan idealisme parti, bagaimanapun tidak boleh bercakap bagi pihak DAP dan AMANAH.

“Menang atau kalah itu belakang kira, kami hendak pertahankan idealisme kami tetapi saya tak boleh bercakap bagi pihak DAP dan Amanah. Mereka pemimpin senior yang sudah ada pengalaman berpuluh tahun, ia terpulang kepada mereka, saya hanya berpegang kepada keputusan diperingkat PH yang memang noktah (tiada kerjasama PN),” katanya.

Sebelum ini, Naib Presiden PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad turut dilaporkan bahawa parti dalam PH kini lebih menumpukan pada gerak kerja memperkukuh gabungan itu bagi menghadapi PRU-15.

Malah katanya, soal untuk kembali bekerjasama bersama PN tidak wujud dalam agenda parti itu dalam gabungan PH ketika ini.

BACA:

Lizzy dedah aksi cium pelakon lelaki dalam filem Abang Long Fadhil 3 adalah ‘real’

Azlan Typewritter punya pasal, majlis konvo jadi konsert rock!

Selamba je gelandangan ni buat bilik tidur atas jejambat pejalan kaki

CATEGORIES