Nik Abduh suruh santuni, Pemuda PAS kata tolak kemasukan baru Rohingya

Nik Abduh suruh santuni, Pemuda PAS kata tolak kemasukan baru Rohingya

Dewan Pemuda Pas Malaysia (DPPM) menyokong tindakan kerajaan yang bertegas menolak kemasukan pelarian baharu Rohingya bagi mencegah ancaman kluster baharu penyebaran Covid-19.

Ketua Pemudanya, Ir Khairil Nizam Khirudin berkata, kerajaan juga perlu mengutamakan sumber serta anggota keselamatan bagi tujuan menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dalam negara.

“DPPM memandang serius isu pelarian Rohingya yang kembali menimbulkan perdebatan masyarakat Malaysia.

“Langkah terbaik yang boleh diambil ialah mengimbangi antara pertimbangan kemanusiaan dengan pencegahan ancaman keselamatan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Khairil Nizam, isu itu kembali hangat kerana kempen serangan berterusan kerajaan Myanmar ke atas warga Rohingya di Arakan termasuk serangan udara yang dikecam hebat pemerhati PBB hingga mencetuskan gelombang pelarian yang baharu.

Katanya, ia juga kembali hangat berikutan kenyataan kontroversi beberapa wakil pertubuhan Rohingya di Malaysia yang menuntut hak tertentu yang dianggap tidak sesuai dengan status mereka sebagai pelarian, bukannya warganegara Malaysia.

Jelasnya, ia juga susulan tindakan kerajaan Malaysia yang berpendirian menolak kemasukan baharu bot pelarian Rohingya atas pertimbangan mencegah mudarat yang jauh lebih besar bukan sahaja melibatkan isu Covid-19 tetapi pencegahan kemungkinan berlaku sindiket pemerdagangan manusia yang mengambil kesempatan,” katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata, ketika kerajaan mengambil pendirian mencegah ancaman keselamatan, rakyat tidak perlu mengecam etnik itu kerana tidak semua bersikap ‘ibarat cacing naik ke mata’ atau ‘kacang lupakan kulit’.

Tambahnya, kerajaan Myanmar perlu mengembalikan kerakyatan kepada etnik berkenaan mematuhi keputusan keputusan Mahkamah Antarabangsa (ICJ) dan membenarkan mereka kembali ke kampung dengan aman.

Khairil Nizam berkata, DPPM juga mendesak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengambil tanggungjawab ke atas pelarian Rohingya yang tidak diterima masuk ke negara ini untuk ditempatkan di kem-kem pelarian seperti yang telah disediakan di Bangladesh.

“Pemimpin Rohingya di Malaysia perlu menggunakan saluran yang betul dan bertindak secara diplomatik bagi memelihara kepentingan dan kesejahteraan warga Rohingya di Malaysia. Amat malang jika segala bantuan dari rakyat dan kerajaan Malaysia kepada nasib Rohingya selama ini tidak dihargai dengan sewajarnya.

“DPPM juga mengajak rakyat menghentikan penyebaran kebencian kepada mereka berasaskan fakta yang salah, berita palsu dan kenyataan yang ditokok tambah. Ada agenda terancang di sebalik semua ini,” katanya.

Berita penuh : https://www.sinarharian.com.my/article/80821/BERITA/Nasional/DPPM-sokong-kerajaan-tolak-kemasukan-pelarian-Rohingya

COMMENTS